Enam orang jurubedah di bumi mencatatkan sejarah kerana berjaya mengawal mesin pembedahan yang terletak di Stesen Angksa Antarabangsa (ISS) dua hari yang lalu. Robot Miniaturized In Vivo Robotic Assistant (SpaceMIRA) telah dibawa ke ISS pada awal tahun ini. Sebelum ini MIRA telah berjaya melakukan pembedahan jarak jauh di bumi.

Enam orang jurubedah di Lincoln, Nebraska mengawal SpaceMIRA yang mengorbit bumi pada ketinggian 402 kilometer. Bagi melihat kejituannya, jurubedah perlu melakukan 20 potongan pada 10 gelang getah yang menjadi pengganti untuk tisu manusia. Mereka mendapati terdapat sela masa antara 0.5-0.75 saat yang adalah besar. Oleh itu bagi mengelakkan kesilapan, jurubedah melakukan pergerakan kecil terlebih dahulu sebelum perlahan-lahan melakukan pergerakan lebih besar bagi mengelakkan sebarang kesilapan ketika melakukan potongan.

Ujian dilakukan bagi melihat sama ada sistem yang boleh digunakan untuk melakukan pembedahan di angkasa menggunakan robot boleh dilakukan. Ketika di orbit atau misi ke Marikh, mungkin tiada pakar bedah yang boleh melakukan pembedahan kecemasan pada krew yang tercedera. Sistem robotik seperti SpaceMIRA membolehkan pakar di bumi melakukan pembedahan jarak jauh di angkasa lepas.
Sistem SpaceMIRA dibangunkan oleh firma Virtual Incision dengan bantuan University of Nebraska-Lincoln (UNL). Teknologi robot melakukan pembedahan kini realiti dan bukan lagi fiksyen malahan telah dilakukan di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 2022.