Banyak syarikat-syarikat pembuat cip semikonduktor hari ini yang dilihat mahu mula membangunkan cip semikonduktor khusus untuk tujuan kecerdasan buatan, dan individu yang paling dikenali sekarang berkaitan teknologi AI ialah CEO OpenAI, Sam Altman yang mahu membangunkan pelaburan $7 trilion untuk membuka syarikat pembuatan cip tersebut secara khususnya.
Seorang lagi individu yang tidak begitu asing dari dunia pembangunan teknologi cip pemprosesan ialah Masayoshi Son, CEO syarikat Softbank yang memliki pegangan majoriti dalam Arm, syarikat teknologi cip semikonduktor yang menguasakan pe.bagai peranti pintar dan kelengkapan elektronik pengguna hari ini.

Laporan Bloomberg mengatakan bahawa Masayoshi Son sedang bersedia untuk memperkenalkan Project Izanagi sebagai pesaing kepada komponen cip pemprosesan kecerdasan buatan yang dikeluarkan NVIDIA seperti NVIDIA H100 yang kini digunakan bukan sahaja untuk menguasakan teknologi kecerdasan buatan, tetapi digunakan untuk membangunkan pelbagai teknologi baru berkaitan arena tersebut.
Project Izanagi dilaporkan juga akan “melengkapkan” penawaran Arm didalam ruangan teknologi kecerdasan buatan, tetapi tiada butiran mengenai pembangunan cip kecerdasan buatan ini diketahui lagi setakat ini.
Apa yang menariknya ialah Masayoshi Son dilaporkan sedang mencari pelaburan hanya $100 bilion berbanding dengan $7 trilion oleh Sam Altman, tetapi dengan ketersediaan Arm didalam industri pembangunan teknologi cip, ia dilihat bahawa Masayoshi Son mahu memfokuskan pembangunan Project Izanagi terhadap penguasaan teknologi kecerdasan buatan am (artificial general intelligence) yang boleh memiripi kebolehan melakukan tugas dan pemikiran seorang manusia.
Dalam sebuah lagi temubual bersama Bloomberg, Masayoshi Son berkata bahawa teknologi kecerdasan buatan am yang berfungsi seakan manusia akan menjadi realiti dalam masa 10 tahun lagi.