Sony baru sahaja telah memulakan jualan PlayStation 5 “Slim” untuk pasaran Malaysia, dan kini hadir laporan penganalisa melalui CNBC, menyasarkan Sony mungkin memperkenalkan kemaskini PlayStation 5 “Pro” pada tahun ini.
Buat masa ini, perkongsian ini hadir daripada penganalisa, dan bukan pihak Sony sendiri. Ia dijangka konsol berkuasa tinggi baharu ini akan menarik minat orang ramai dalam mendapatkan konsol berkenaan – selepas Sony menghadapi cabaran untuk mencapai sasaran jualan konsol sebelum ini.

Sebelum ini, Sony telah memperkenalkan variasi “Pro” untuk PlayStation 4 , sekitar selepas 3 tahun konsol PlayStation 4 diperkenalkan. Untuk PlayStation 5 pula, ia telah diperkenalkan pada 2020 lepas, dan pihak Sony turut hadir dengan kemaskini kecil untuk konsol berkenaan pada tahun lepas.
Konsol PlayStation 5 “Pro” dijangka akan menjadi penarik baharu dalam terus meningkatkan jualan konsol Sony. Pada masa yang sama, konsol berkuasa baharu ini dijangka akan menjadi persediaan untuk salah satu permainan akan datang yang dinantikan ramai di seluruh dunia, iaitu Grand Theft Auto 6 sekitar 2025 kelak.