Kadar Pemulangan Semula Apple Vision Pro Adalah Lebih Kurang Sama Dengan Produk Lain
Effi Saharudin
Minggu lalu dilaporkan pembeli Apple Vision Pro mula memulangkan semula set kepala ini sebelum tempoh pulangan 14 hari luput di Amerika Syarikat. Ia menimbulkan persoalan sama ada produk ini benar-benar mendapat sambutan ataupun lebih banyak dipulangkan. Menurut Bloomberg yang memetik sumber Apple Store, sebenarnya kadar pemulangan semula Apple Vision Pro tidak seteruk yang disangka.

Kadar pemulangan semula adalah antara sama dan sedikit lebih tinggi berbanding produk lain yang dijual oleh Apple. Apakah sukatan yang digunakan Apple untuk mengatakan ia adakah “sama” dan “sedikit lebih tinggi” tidak pula dinyatakan.
Tetapi yang pasti wujud sebilangan pengguna yang membeli Vision Pro sekadar untuk menghasilkan kandungan media sosial. Selepas semua video telah diterbitkan, pulangkan sahaja Vision Pro tanpa perlu risau ia dinafikan oleh Apple.
Permintaan untuk Vision Pro di luar Amerika Syarikat kami sedari adalah agak tinggi. Di Malaysia misalnya ia disenaraikan di gedung jualan pihak ketiga pada harga RM25,000. Ini adalah lebih mahal berbanding harga asal sekitar RM18,000. Bagi yang mampu dipersilakan beli. Bagi yang tidak mampu terdapat alternatif set kepala lain pada harga yang lebih mampu milik.
[sumber] Bloomberg [/sumber]