Carian
Apple Vision Pro Mula Dipulangkan Pembeli Disebabkan Pelbagai Isu
February 15, 2024 Effi Saharudin

Hampir dua minggu lalu Apple Vision Pro mula ditawarkan di Amerika Syarikat dengan muncul laporan lebih 160,000 set kepala berjaya dijual. Ini dilihat sebagai kejayaan bagi sebuah produk generasi pertama dan harga mencecah RM18,000 sepasang. Namun kini di media sosial agak ramai pembeli yang mengatakan mereka akan memulangkan semula Vision Pro disebabkan beberapa isu.

Kebanyakan pembeli merungut ketidakselesaan disebabkan oleh Vision Pro yang agak berat. Tekanan pada muka menyebabkan ia tidak selesa dipakai untuk tempoh yang lama. Dalam kes lebih serius, pembeli mengatakan ia mula menyakitkan muka selepas hanya 10 minit dipakai. Beberapa pad menahan cahaya (light seal) yang ditawarkan Apple masih belum cukup selesa dan membenarkan cahaya memasuki ruang dalaman set kepala.

Rungutan kedua ialah tidak banyak aplikasi berguna yang boleh digunakan pada ketika ini. Apple mengatakan lebih daripada 600 aplikasi tersedia. Pelbagai aplikasi adalah berbayar tetapi hanya seronok digunakan untuk seketika.

Sesetengah pengguna pula mengatakan aplikasi dalam Vision Pro tidak cukup tajam untuk digunakan disebabkan oleh sistem foviated view yang digunakan. Foviated view hanya memberikan imej tajam pada bahagian yang dipandang oleh mata membuatkan kawasan lain kelihatan kabur.

Akhir sekali ialah faktor harga Vision Pro yang agak tinggi. Dengan aplikasi terhad, dan kurang selesa dipakai untuk tempoh berpanjangan pembeli memilih untuk memulangkan semula Vision Pro. Di Amerika Syarikat, produk yang dibeli boleh dipulangkan tanpa memberikan sebab dalam tempoh 14 hari selepas dibeli. Mungkin apa yang dikatakan oleh Mark Zuckerberg semalam ada kebenarannya. Pada waktu ini Meta Quest 3 ialah produk yang lebih berbaloi kerana kepelbagaian ciri serta harga yang lebih mampu milik.

Komen