Perang set kepala VR/AR fasa kedua bermula sekali lagi dengan pelancaran Apple Vision Pro beberapa minggu lalu. Kini terdapat kem Apple Vision Pro dan kem Meta Quest 3 masing-masing dengan kelebihan serta kekurangan tersendiri. Hari ini Mark Zuckerberg memuat naik video pendapat beliau selepas mencuba Vision Pro.
Menurut Zuckerberg, pada pendapat beliau Quest 3 ialah produk yang lebih baik. Pertama sekali menurut Zuck, Quest 3 adalah lebih selesa untuk digunakan kerana ianya lebih ringan serta tiada wayar berselirat semasa digunakan. Sudut pandangan Quest 3 juga lebih lebar. Dalam beberapa ulasan Vision Pro, pemilik merungut sudut pandangan Vision Pro memberikan perasaan seakan memakai gogal kerana tidak cukup lebar.
Kelebihan lain Quest 3 pastinya ialah harganya yang tujuh kali ganda lebih murah yang membolehkan orang ramai mampu membelinya. Disamping itu jumlah aplikasi yang menggunakan kemampuan AR dan VR pada Quest 3 juga lebih banyak pada ketika ini. Seperkara lagi pilihan kawalan menerusi penjejakan jari serta alat kawalan pada Quest 3 juga adalah lebih terperinci berbanding penjejakan mata yang digunakan oleh Vision Pro.
Kami bersetuju dengan pelbagai kelebihan yang disentuh oleh Zuck tetapi pada waktu yang sama beliau WAJIB mengatakan produk keluaran Meta adalah lebih baik. Vision Pro mempunyai kelebihan dari sudut ekosistem khususnya jika anda memang seorang pengguna produk Apple. Yang pasti apabila Apple dan Meta saling bersaing antara satu sama lain ia akan mendatangkan kebaikan kepada pengguna kerana akan diberikan pilihan.
Bagi kami, set kepala VR/AR adalah menarik dan menyeronokkan untuk dipakai tetapi ia bukan pengganti kepada komputer riba atau telefon pintar. Masih tiada set kepala yang kami cuba selesa untuk digunakan sepanjang hari. Mata rasa berpeluh, muka rasa seperti ditekan dan bateri set kepala terlalu pendek. Selagi isu ini tidak diselesaikan, cermin mata pintar seperti Google Glass dan Ray-Ban Meta ialah satu-satunya “set kepala AR” kami kami rasakan praktikal.