Selepas Apple Music dilancarkan di Malaysia pada beberapa tahun lepas, ramai gembira kerana harga langganan yang berbaloi berbanding pesaing seperti Spotify. Tetapi pada masa yang sama ramai mengeluh kerana Apple Music tidak menawarkan kemampuan memindahkan senarai main dan perlu bergantung kepada perkhidmatan pihak ketiga.

Baru-baru ini Apple Music dilihat sedang menguji ciri mengimport senarai main daripada Spotify atau perkhidmatan pentsriman audio yang lain ke platform mereka. Apple dilihat bekerjasama dengan SongShift iaitu perkhidmatan pihak ketiga yang memindahkan data senarai main dari satu tempat ke tempat lain.

Lebih mengejutkan, Apple dilihat menguji ciri ini pada aplikasi Apple Music untuk Android dan bukannya iOS. Pengguna beta yang bertuah sedia mengujinya. Tiada butiran bilakah ciri ini akan diperluaskan kepada semua pengguna, tetapi ia pastinya adalah perkara yang orang ramai akan hargai.