Sebelum Xiaomi bekerjasama dengan Leica, mereka sudah lama cuba menjayakan inovasi pada fotograf telefon pintar. Pengeluar China ini turut membuka Xiaomi Studio sebagai studio mencipta kandungan digital serta Xiaomi Imagery iaitu platform untuk pengguna sertai kelas fotografi serta kongsi hasil yang telah dirakam. Terbaru Xiaomi x Leica Optical Institute pula telah dibuka.
Institusi ini dibuka bagi membangunkan teknologi baharu untuk pengimejan peranti mudah alih. Mereka berhasrat untuk hadir dengan inovasi pengimejan seperti lensa optikal yang direka ultra-jitu dalam saiz kompak, mencapai prestasi ideal dalam pengkomputeran fotografi, menetapkan piawaian yang lebih ketat untuk pemilihan lensa, serta mengkaji dan mengaplikasikan teknologi optoelektronik.
Xiaomi 14 Ultra dikatakan akan menjadi penanda aras untuk Xiaomi x Leica Optical Institute. Peranti ini dikatakan membawa inovasi praktikal untuk prestasi pengimejan peranti mudah alih yang tiada tandingan. Tiga kilang turut akan dibangunkan di Beijing untuk Perkakasan Kamera, Pengimejan serta Penilaian Objektif dan Subjektif Kualiti Imej. Kilang-kilang ini berada di kawasan seluas 2644m² dan akan menjadi antara yang terbesar sebagai makmal fotografi berautomat.
Xiaomi x Leica Optical Institute menyertakan lebih 200 pakar. Antara yang terlibat adalah Pereka Leica siri Noctilux dan APO; Peter Karbe sebagai Pakar Optikal, Naib Presiden Senior Xiaomi Group dan Presiden Bahagian Telefon Xiaomi; Zeng Xuezong akan menjadi pengarah, Ketua Pasukan Perisian Teknikal dan Pengurus Bahagian Kamera Xiaomi; Yi Yan dan Wang Xuanran akan menjadi Timbalan Ketua.
Xiaomi 14 Ultra akan dilancarkan bersama-sama dengan Xiaomi 14 untuk pasaran global di acara MWC Barcelona 2024 pada 25 Februari akan datang. Kedua-dua peranti akan dijual di Malaysia dengan model Pro terhad di China sahaja. Jika benar dakwaan Xiaomi 14 Ultra adalah telefon fotografi terbaik, adakah anda akan membeli peranti ini? Mana tahu untuk telefon Raya?