Kita sudahpun berjaya menghasilkan daging dan organ buatan makmal sebagai pengganti kepada organ sebenar. Teknologi ini telah berjaya pula menghasilkan testis buatan makmal. Saintis dari Bar-Ilan University, Israel menghasilkan testis buatan makmal daripada sel testis tikus. Ia bertahan selama 9 minggu sehingga menunjukkan tanda hampir menjalani proses meiosis yang diperlukan untuk menghasilkan sel gametes yang diperlukan untuk menghasilkan sperma.
Organ buatan makmal ini turut dipanggil organoid yang digunakan sebagai pengganti organ manusia dalam ujian makmal. Saintis yang membangunkan organoid testis buatan makmal ini percaya ia boleh digunakan untuk merawat isu kesuburan pada manusia ldan melalukan pelbagai kajian mengenai organ pembiakan. Saintis sebelum ini berjaya menghasilkan organoid untuk otak dan paru-paru.
Kegunaan lain ialah mengambil sel testis manusia sebelum menjalani prosedur perubatan yang boleh mengakibatkan kemandulan seperti rawatan kanser. Selepas rawatan tamat, sperma boleh dihasilkan menerusi testis buatan makmal yang kemudiannya digunakan pesakit untuk menghasilkan zuriat.