Pesawat Tempur TAI KAAN Melakukan Penerbangan Pertama
Effi Saharudin
Program pesawat tempur generasi kelima Turkiye TAI TF-X minggu ini secara rasmi menggunakan nama baharu TAI Kaan yang bermakna “Raja Segala Raja”. Dua hari lalu Kaan akhirnya berjaya melakukan penerbangan pertama sejak projek diumumkan pada tahun 2015. Ini dilihat sebagai satu lagi kejayaan industri ketenteraan Turki dalam menghasilkan pesawat tempur tempatan.
Kaan ialah pesawat tempur dua enjin dengan kemampuan sukar dikesan radar seperti Lockheed Martin F-35. Ia dibangunkan secara kendiri oleh Turkiye selepas mereka dihalang daripada membeli pesawat F-35 oleh Amerika Syarikat berikutan pembelian sistem peluru berpandu S400 dari Rusia. Pesawat ini dilengkapi dua enjin General Electric F100 yang sudah agak berusia.

Di masa hadapan, enjin rekaan Turkiye sendiri akan digunakan bagi membolehkan keseluruhan pesawat menggunakan komponen buatan tempatan. Apabila beroperasi kelak, Kaan akan menggantikan pesawat F-4 Phantom dan F-16 yang digunakan oleh Turkiye sekarang. Empat tahun lalu Turkiye mempelawa Malaysia untuk menyertai program TF-X memandangkan Malaysia sedang mencari pesawat pengganti kepada Mig-29 Fulcrum.