Di Plaça de Willy Brandt, Barcelona hari ini Xiaomi turut memperkenalkan tiga peranti boleh pakai untuk melengkapkan ekosistem Human x Car x Home bersama siri Xiaomi 14. Dua model telah pun dilancarkan di China, tetapi satu model baharu dilancarkan sebagai kejutan bagi peminat Wear OS.
Xiaomi Watch 2
Jam ini adalah versi asas dan lebih mampu milik kepada Xiaomi Watch 2 Pro yang dilancarkan bersama siri Xiaomi 13T tahun lepas. Ia menggunakan skrin AMOLED 1.43-inci bresolusi 466 x 466 piksel dan kecerahan mencapai 600 nits. Jam ini dijana dengan cip Snapdragon W5+ Gen 1 yang sama dengan model Pro.
Kerangka jam diperbuat daripada aluminium aloi, mempunyai perlindungan kali air dan debu 5 ATM, menggunakan sambungan WiFi 5 serta Bluetooth 5.2, dilengkapi dengan sensor pemecut, giroskop, pengimbas nadi, barometer kompas dan banyak lagi. Jam ini turut dilengkapi dengan bateri 465mAh yang boleh bertahan mencapai 65 jam. Pengecasan adalah melalui dermaga magnetik tersendiri.
Jam ini menjalankan sistem operasi Wear OS (versi tidak didedahkan) yang dilengkapi dengan lebih 160 mod sukan, pemantauan kesihatan 12-saluran, 5 sistem GPS, dan menggunakan rekabentuk ringkas serta ringan. Warna yang ditawarkan hanya dua iaitu perak atau hitam dengan pelbagai pilihan tali jam termasuk dengan versi bahan binaan kitar semula.
Xiaomi Watch S3
Jam ini telah pun dilancarkan di China pada tahun lepas. Ia menggunakan skrin sama dengan Watch 2 tetapi mempunyai ciri bezel boleh tukar. Xiaomi akan menjual pelbagai set tali jam bersama bezel, yang mana setiap bezel mempunyai muka jam tersendiri. Bateri juga lebih besar iaitu 486mAh dengan ketahanan mencapai 15 hari. Untuk versi global, tiada sokongan ECG.
Jam ini turut terdapat sokongan multi-GPS serta kemampuan memantau kesihatan pengguna secara menyeluruh. Jam ini menjalankan sistem operasi Xiaomi HyperOS, jam tangan pintar pertama mereka dengan sistem ini. Disebabkan Xiaomi tidak menggunakan Wear OS, mod sukan terhad kepada lebih 150 sahaja dan fungsi jam tangan pintar asas seperti membalas mesej atau membaca mesej penuh tidak tersedia.
Xiaomi Smart Band 8 Pro
Anda akan mengenali produk ini melalui nama lamanya iaitu Mi Band. Ini adalah generasi kelapan mereka dan merupakan iterasi lebih profesional dengan ciri dan fungsi yang lebih berkuasa. Skrin adalah lebih besar iaitu 1.74-inci AMOLED beresolusi 336 × 480 piksel, kecerahan 600-nit dan dilindungi dengan Gorilla Glass Victus.
Ia menggunakan sambungan Bluetooth 5.3, mempunyai perlindungan 5 ATM, bateri 289mAh dengan ketahanan mencapai 14 hari, serta ciri sukan dan kesihatan yang sama dengan Watch S3. Tubuh jam diperbuat daripada keluli dengan tali jam TPU. Terdapat dua pilihan warna iaitu hitam atau putih.
Ketiga-tiga peranti boleh pakai ini akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Memberi pilihan kepada pengguna sama ada inginkan yang asas tetapi mesra banyak peranti, yang unik serta mesra bersama ekosistem HyperOS atau juga yang ringkas seakan gelang tangan. Xiaomi Watch 2 akan dijual pada harga bermula EUR 199 (~RM1030), Watch S3 pula bermula EUR 149 (~RM771) dan Smart Band 8 Pro bermula daripada EUR 89 (~RM461).