Pentas MWC Barcelona kerap digunakan untuk memperlihatkan inovasi dalam dunia teknologi. Teknologi pengecasan pantas, kamera pop naik, zum periskop dan pengecasan nirwayar adalah antara yang pernah diperlihatkan pertama kali di MWC. Kali ini di MWC Barcelona, Infinix memperlihatkan sistem penyejukan termoelektrik pertama untuk sebuah telefon pintar.
Sistem penyejukan Infinix CoolMax menggabungkan sistem kipas fizikal dengan pad penyejuk termoelektrik (TEC). Menerusi sistem ini, Infinix berkata pemproses Dimensity 9300 dapat disejukkan sehingga 10 darjah Celsius ketika melakukan ujian Antutu 3D. Hasilnya 2,215,639 markah telah berjaya dicatatkan menjadikannya yang tertinggi untuk sebuah telefon pintar.

Teknologi TEC biasanya digunakan pada kipas penyejuk luaran seperti Black Shark Gaming Cooler. Ia tidak diletakkan di dalam kerana apabila penyejukan dilakukan, titisan air akan terbentuk yang boleh merosakkan komponen. Tidak diketahui bagaimana Infinix menggelakkan isu ini berlaku pada bahagian dalam peranti.
Turut diumumkan ialah teknologi Extreme-Temp Battery yang membolehkan bateri peranti dicas walaupun pada suhu melampau -40 darjah Celsius. Secara lazimnya pengecas tidak boleh berfungsi pada suhu yang amat sejuk ini kerana bateri juga berhenti berfungsi. Kedua-dua teknologi ini akan digunakan pada peranti yang akan dilancarkan oleh Infinix dalam masa terdekat.