Carian
Oppo Air Glass 3 Diperlihatkan Dengan Sokongan AndesGPT
February 27, 2024 Effi Saharudin

Cermin mata pintar generasi ketiga Oppo Air Glass 3 telah diperlihatkan di MWC Barcelona pagi ini. Untuk versi ketiga, Air Glass 3 hadir dengan sokongan chatbot baharu AndesGPT yang dibangunkan sendiri oleh Oppo. Menerusi arahan suara, pelbagai jawapan boleh diberikan oleh AndesGPT kepada pemakai.

Penambahbaikan juga diberikan kepada sistem pancaran maklumat pada permukaan cermin mata ini. Maklumat realiti terimbuh akan kelihatan lebih terang dan jelas pada Air Glass 3 berbanding pada dua versi terdahulu. Imej kini 50% lebih jelas dengan keterangan puncak mencecah 1000 nits.

Ia masih boleh digunakan untuk melakukan panggilan telefon, mengambil video, sistem navigasi dan mendengar muzik. Bercakap mengenai muzik, Oppo mengatakan sistem speaker juga kini lebih baik dengan audio tidak lagi melimpah keluar untuk didengari oleh orang sekeliling.

Oppo Air Glass 3 masih lagi sekadar sebuah prototaip yang belum bersedia dijual kepada orang ramai. Tetapi rekaan cermin mata pintar seperti ini adalah lebih masuk akal berbanding set kepala AR yang besar.

Komen