Semua orang nampaknya ingin menjadi penghasil kandungan di media sosial. “Konten” akan berubah menjadi kredit sekiranya berjaya menjadi tular. Oleh itu kelengkapan menghasilkan kandungan kini perlu bagi memastikan ia berkualiti. Mikrofon terkini Saramonic Blink500 B2+ telah dilancarkan dengan ia menyasarkan golongan penghasil kandungan yang tidak mahu berbelanja lebih.

Setiap Blink500 B2+ hadir dengan dua mikrofon nirwayar dan satu penerima isyarat. Ia boleh disambungkan kepada sebuah telefon USB-C, Lightning atau kamera digital menggunakan kabel 3.5mm. Setiap mikrofon mempunyai kondenser 6mm yang melakukan rakaman dalam julat frekuensi 20-20,000 Hz pada tetapan 48K 24-bit.

Secara nirwayar audio boleh dipancarkan sehingga jarak 150 meter daripada penerima. Rakaman sehingga 20 jam boleh dilakukan dan meningkat ke 40 jam dengan bantuan bateri dalam pod pengecas. Sekilas pandang sistem Sarmonic ini mirip dengan sistem terkini DJI Mic 2 cuma tanpa sokongan tambatan bluetooth kepada peranti pintar.
Sistem pembatalan hingar juga disertakan bagi memastikan audio jelas ketika melakukan rakaman di luar. Setiap mikrofon mempunyai klip atau sambungan magnetik. Setiap satu set Saramonic Blink500 B2+ dijual pada harga $129 (RM615) yang jauh lebih murah berbanding sistem audio sama keluaran pesaing.