Nubia Neo 2 5G dilancarkan secara rasmi di MWC 2024. Ia menjadi kesinambungan untuk Neo 5G sebelum ini dengan peningkatan menarik. Misalnya seperti reka bentuk bercirikan fururistik, diikuti dengan butang bahu fizikal yang boleh disesuaikan untuk pengalaman permainan lebih mendalam.

Untuk lebih khusus lagi peranti dilengkapi skrin 6.72-inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip pemproses lapan teras yang tidak didedahkan secara khusus. Namun dikhabarkan boleh dijana cip Unisoc T820 yang sama seperti Neo 5G sebelum ini.

Memori pula sebesar 8GB RAM dengan padanan storan 256GB, selain dimuatkan juga sistem penyejukan dua sisi untuk pelepasan haba lebih baik. Dwi-kamera utama digunakan menyokong teknologi Neovision namun konfigurasi tidak pula dinyatakan secara khusus.

Selain itu peranti juga mempunyai bateri 6000mAh yang menyokong pengecasan 33W dan pembesar suara dengan DTS:X Ultra. Tiada butiran mengenai harga diketahui buat masa ini.