Carian
Laporan Mendakwa Samsung Galaxy Z Fold6 Ultra Akan Dilengkapi S-Pen
March 1, 2024 Effi Saharudin

Sejak dari generasi pertama lagi ramai mengharap siri Galaxy Z Fold mempunyai S Pen terbina seperti siri Galaxy S Ultra. Tahun ini sekali lagi ura-ura kedengaran bahawa S Pen terbina akan ditawarkan pada siri Galaxy Z Fold6. Ini adalah kerana imej acah yang tertiris menunjukkan peranti yang lebih lebar mirip sebuah Oppo Find N3.

Gambar oleh @OnLeaks

Dua Z Fold6 dipercayai akan dilancarkan dengan Z Fold6 Ultra ialah model dengan S Pen terbina serta mempunyai bahan binaan yang lebih premium menurut laporan WinFuture. Mungkin sekali lagi bahan titanium akan digunakan seperti yang kita lihat pada S24 Ultra. Tidak diketahui sama ada Z Fold6 biasa ialah model lebih mampu milik yang kewujudannya mula didengari sejak setahun lalu.

Ura-ura lain yang mula kedengaran ialah Z Fold6, Z Flip6 dan Galaxy Ring akan dilancarkan pada awal Julai ini. Lebih menarik ialah khabarnya acara Unpacked pada bulan Julai akan diadakan di Paris sebelum bermulanya Sukan Olimpik 2024. Samsung menjadi penaja Olimpik di peringkat global pada tahun 1998. Jika ura-ura ini benar, atlet Olimpik Paris akan menerima peranti yang baharu sahaja dilancarkan dan boleh dipromosikan serentak dalam acara yang berlangsung empat tahun sekali.

Komen