Carian
Call of Duty: Warzone Mobile Akan Dilancarkan Pada 21 Mac
March 1, 2024 Effi Saharudin

Call of Duty: Warzone Mobile akan dilancarkan ke peringkat global pada 21 Mac hadapan. Sebelum ini permua yang bakal menggantikan COD Mobile ini hanya boleh diakses sebilangan kecil pemain seperti di Malaysia. Apabila dilancarkan kelak dua peta boleh dimainkan iaitu Verdansk dan Rebirth Island.

Verdansk menyokong sehingga 120 pemain serentak dalam mod Battle Royale. Sementara itu Rebirth Island adalah lebih kecil dengan hanya menyokong sehingga 48 pemain juga dalam mod Battle Royale. Terdapat beberapa lagi peta dan mod yang boleh diakses seperti Shipment dan Shoot House bagi mereka yang kurang menggemari mod BR.

Bagi peminat siri Call of Duty, watak yang dimainkan dalam Call of Duty: Warzone Mobile diselarikan tahap pemain, senjata, operator dan XP dengan Call of Duty: Modern Warfare III dan Call of Duty: Warzone di konsol serta PC. Pendaftaran telah dibuka dengan pelbagai barangan akan diberikan kepada mereka yang mendaftar apabila permainan dilancarkan.

Pengalaman kami bermain Call of Duty: Warzone Mobile sebelum ini agak mengecewakan kerana terdapat terlalu banyak isu grafik pada Android serta iOS. Grafik tahap konsol yang dijanjikan juga tidak begitu memberangsangkan jika dibandingkan dengan COD Mobile. Diharap apabila dilancarkan kelak kesemua isu ini akan dapat diselesaikan.

Komen