Carian
Ulasan Tecno Spark 20 Pro – Macam Peranti Buah Tapi Harganya Murah
March 1, 2024 Effi Saharudin

Kembali lagi kita ke rancangan mengulas peranti murah dan adakah ia masih bermaruah. Hari ini tiba giliran Tecno Spark 20 Pro yang dijual pada harga RM699 untuk 8/256GB dan RM799 untuk 12/256GB. Apa yang saya sedari sejak dua tahun kebelakangan ini ialah peranti sub RM1000 di Malaysia kini tidak lagi boleh ditongsampahkan. Sebaliknya ia sebenarnya cukup baik untuk digunakan bagi mereka yang enggan mengorbankan ginjal semata-mata untuk sebuah telefon pintar baharu.

SPESIFIKASI

Tecno Spark 20 Pro
Skrin6.78″ IPS LCD, FHD+, 120HZ
PemprosesMediatek Helio G99
Cip2 X 2.2 GHz Cortex-A76
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8/12GB LPDDR4X
8/9GB Maya
Muatan Dalaman256GB UFS 2.2
Mikro SD 1TB
Kamera Utama108MP, f/1.8 (Sudut Lebar)
2MP (Kedalaman)
Kamera Swafoto32MP f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/TelefoniDwi Nano/4G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP53
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Wajah
Harga JualanRM 699 (8/256 GB)
RM 799 (12/256 GB)

SKRIN

Skrin 6.78″ IPS LCD dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula yang 120Hz. Kadar segar semula ialah dinamik antara 60Hz, 90Hz atau 120Hz bergantung kepada situasi. Pilihan memilih salah satu daripada kadar segar semula tadi juga diberikan. Skrin memuaskan sahaja bagi sebuah panel LCD. Ia juga responsif terhadap sentuhan dan tiada isu untuk menonton kandungan video. Kekurangan ialah bezel tebal dan prestasi di bawah matahari terik tidak akan setanding panel OLED.

Terdapat ciri Dynamic Port yang merupakan “interpretasi” Tecno untuk ciri Dynamic Island pada iPhone. Ia menyokong paparan pengecasan bateri, bateri hampir habis, nyahkunci wajah dan ketika melakukan panggilan telefon. Ia jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan Dynamic Island. Pada waktu ini sistem Mini Capsule pada Realme C67 adalah yang terbaik pada peranti Android yang pernah saya ulas.

Sistem haptik saya rasakan adalah tidak memuaskan. Terasa ketinggalan zaman kerana setiap kali motor bergetar seluruh tubuh peranti turut bergegar sampai terasa geli di tangan. Saya sudah terbiasa dengan getaran paksi Y yang lebih realistik pada peranti mercu dan sudah tidak boleh kembali ke sistem haptik lama.

BIOMETRI

Pengimbas cap jari diletakkan pada butang kuasa di sebelah kanan bingkai. Permukaan butang kuasa adalah rata dan besar maka proses mengimbas cap jari adalah sangat pantas. Terdapat juga sistem imbasan wajah yang berfungsi amat pantas. Bagi sebuah peranti kelas permulaan mampu milik, sistem biometri Spark 20 Pro adalah amat cemerlang.

REKAAN

Tak perlu berselindung kerana peranti ini memang mempunyai rekaan yang mengambil “inspirasi” daripada iPhone 15 Pro Max. Sebagai pengguna 15 Pro Max saya boleh katakan terdapat banyak persamaan tetapi tidak 100% berjaya. Saya berikan pujian kepada tubuh berkotak yang sangat selesa dipegang. Walaupun terdapat bonggol kamera gergasi di belakang, peranti ini masih seimbang dan tidak berat pada bahagian atas.

Butang kuasa dan laras audio terletak pada sisi kanan yang amat mudah diakses. Talam dwi SIM nano dan satu slot kad mikro SD diletakkan pada sisi kiri. Talam mempunyai tiga slot maka dua SIM dan satu kad dengan storan sehingga 2TB boleh digunakan serentak.

Di bawah terdapat bicu audio 3.5mm, port pengecasan USB-C dan salah satu daripada dua speaker stereo. Sementara itu di belakang terdapat bonggol besar yang menempatkan kamera sudut lebar 108MP dan kedalaman 2MP. Jangan tertipu dengan ilusi optik yang digunakan kerana walaupun nampak seperti terdapat tri-kamera dua sahaja yang berfungsi serta lesan sebenar adalah lebih kecil. Lensa kamera juga adalah jauh lebih besar berbanding yang digunakan pada iPhone 15 Pro Max.

Tiada rungutan pada rekaan seakan iPhone ini kerana ia turut hadir dengan kemampuan kalis percikan air IP53. Pada tahun ini semakin kerap kita melihat peranti mampu milik dengan sekurang-kurangnya kemampuan kalis air. Dahulu hanya peranti mercu atau pertengahan premium sahaja menawarkannya.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi HiOS 13.5 berasaskan Android 13 digunakan dan ini ialah kekecewaan pertama. Pengeluar lain seperti Realme dan Infinix mampu menawarkan peranti dengan Android 14. Antaramuka adalah mudah digunakan walaupun elemen antaramuka tidak menghampiri stok. Pelbagai fungsi tambahan diberikan seperti Kids’ Mode, App Twin, MemFusion, Smart Panel dan Game Mode.

Sistem MemFusion boleh menambah sehingga 9GB RAM secara maya. Pada model 8GB RAM yang saya ulas ini MemFusion boleh menambah sehingga 8GB RAM secara maya. Memori ini boleh dimatikan jika tidak mahu digunakan. Fungsi gestur turut diberikan seperti mengawal aplikasi muzik daripada skrin yang terkunci. Satu ciri yang agak unik ialah Peek Proof yang mengaburkan sesetengah kawasan skrin yang mengandungi maklumat peribadi.

Secara keseluruhan sistem operasi ini beroperasi dengan agak lancar. Saya katakan agak kerana kadang kala dapat disedari ia tersekat-sekat. Tetapi memandangkan ia tidak dilengkapi pemproses mercu, apa yang ditawarkan adalah lebih baik daripada jangkaan awal saya.

PENANDA ARAS

MediaTek Helio G99 ialah cip kelas asas yang amat popular pada peranti mampu milik di Malaysia. Berdasarkan pengalaman lalu walaupun prestasi gaming untuk G99 tidak cemerlang, ia masih memadai untuk aplikasi media sosial, fotografi dan penstriman.

Saya bandingkan Tecno Spark 20 Pro dengan Realme C67 (Snapdragon 685) ,Honor X7b (Snapdragon 680), Tecno Pova5 4G (Helio G99), Realme 11 5G (Dimensity 6100+), dan Samsung Galaxy M14 5G (Exynos 1330).

Antutu 3D Benchmark

  • Tecno Spark 20 Pro – 420,193
  • Realme C67 – 304,413
  • Honor X7b – 313,453
  • Realme 11 5G – 373,331
  • Tecno Pova5 4G – 406,217
  • Samsung Galaxy M14 5G – 454,662

Geekbench 6

  • Tecno Spark 20 Pro – 706/1872
  • Realme C67 – 470/1530
  • Honor X7b – 412/1425
  • Realme 11 5G – 720/1884
  • Tecno Pova 5 4G – 737/2005
  • Samsung Galaxy M14 5G – 924/2129

WildLife Extreme

  • Tecno Spark 20 Pro – 345
  • Realme C67 – 133
  • Honor X7b – 120
  • Realme 11 5G – 327
  • Tecno Pova 5 4G – N/A
  • Samsung Galaxy M14 5G – N/A

Skor yang dicatatkan Tecno Spark 20 Pro adalah konsisten lebih tinggi jika dibandingkan dengan Realme C67 yang di dalam kelas yang sama. Saya boleh katakan memang dapat dirasakan perbezaan ini kerana Spark 20 Pro memang terasa lebih lancar dalam penggunaan selama seminggu. Tidak diketahui apakah yang dilakukan oleh Tecno sehingga prestasi peranti ini lebih baik prestasinya.

Jika anda minat dengan permua, saya boleh katakan Asphalt 9 dan COD Mobile boleh dimainkan pada tetapan renda pada tahap yang boleh tahan. Grafik memang nampak asal tetapi kelancaran untuk menembak musuh masih baik. Yang tak boleh dimainkan ialah COD : Warzone Mobile yang tersekat-sekat memandangkan peta boleh memuatkan lebih 100 pemain dan amat luas.

TELEFONI dan GPS

Peranti sekadar menyokong rangkaian 4G dan WiFi 5GHz. Panggilan telefon adalah jelas dan internet juga agak laju. Kemampuan GPS juga memuaskan untuk peranti kelas ini.

KAMERA

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 108MP dan pengesan kedalaman 2MP. Di hadapan kamera pula hanya sekadar 32MP. Prestasi kamera adalah sekadar memuaskan sahaja. Tanpa OIS mod malam menghasilkan gambar yang tidak cukup tajam. Sensor besar membantu menangkap gambar yang agak baik dalam keadaan persekitaran yang terang. Gambar masih agak gelap jika ingin dibandingkan dengan peranti kelas pertengahan.

BATERI

Dengan bateri berkapasiti 5,000mAh, peranti dapat bertahan sepanjang hari sebelum perlu dicas. Ini adalah pada penggunaan biasa saya. Secara purata SOT sekitar 9 jam boleh dicapai. Pengecasan semula menggunakan pengecas 33W adalah sekitar 90 minit yang saya rasakan tidaklah terlalu perlahan.

AUDIO

Sistem audio stereo meletakkan terdiri daripada speaker yang kedua-duanya menembak ke sisi. Audio adalah seimbang dan tahap audio boleh mencapai tahap yang sangat lantang. Terdapat juga sistem audio Dolby secara terbina. Namum begitu audio yang dihasilkan bergema sehingga tubuh peranti bergetar. Bicu audio juga masih ada bagi mereka yang masih mempunyai aksesori audio berwayar.

PERANTI PESAING

Tecno Spark 20 ProHonor X7bTecno Pova 5
6.78″ IPS LCD 120Hz
1080 x 2400(~392 ppi)
6.72″ IPS LCD 90Hz
1080 x 2400(~392 ppi)
6.78″ IPS LCD 120Hz
1080 x 2460 (396 ppi)
Helio G99 (6 nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 685 (6nm)
4 X 2.8 GHz Cortex-A73
4 X 1.9 GHz Cortex-A55
Helio G99 (6 nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G57 MC2Adreno 610Mali-G57 MC2
8/12 GB RAM8GB RAM8GB RAM
256GB ROM256GB ROM256GB ROM
Kamera Utama
108MP, f/1.8 (Lebar)
2MP (Kedalaman)
Kamera Utama
108MP, f/1.8 (Lebar)
2MP, f/2..4 (Kedalaman)
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (Lebar)
0.08MP, f/2,4 (AI)
Kamera Hadapan
32MP f/2.2
Kamera Hadapan
8MP f/2.1
Kamera Hadapan
8MP f/2.5
IP53IP54Tidak kalis air
Bicu audioBicu audioBicu audio
Audio stereoAudio stereoAudio Stereo
5000mAh
Berwayar 33W
5000mAh
Berwayar 33W
6000mAh
Berwayar 45W
RM699 (8/256GB)
RM799 (12/256GB)
RM799 (8/128GB)
RM899 (8/256GB)
RM699 (8/256GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Tecno Spark 20 Pro.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Fon kepala berwayar.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 33W tiga pin.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Pada harga bermula RM699, Tecno Spark 20 Pro adalah amat memuaskan jika dibandingkan dengan peranti lain dalam kelas atau dijual pada harga yang setanding. Perisian walaupun masih menggunakan Android 13 tidak mempunyai iklan yang membuatkan anda boleh mengamuk. Prestasi Helio G99 juga baik dengan aplikasi boleh dijalankan dengan lancar. Cuma permua hanya boleh dimainkan pada tetapan rendah. Ia juga mempunyai speaker stereo serta kalis percikan air IP53.

Saya boleh sarankan Tecno Spark 20 Pro kepada mereka yang ingin peranti permulaan yang mempunyai pakej yang hampir lengkap tetapi pada harga jualan yang amat mampu milik. Ia terasa seperti sebuah peranti kelas pertengahan yang dijual pada harga lebih RM1000.

Pro

  • Skrin 120Hz.
  • Prestasi yang memuaskan untuk peranti kelas permulaan.
  • Bateri besar tahan lama.
  • Speaker stereo.
  • Bicu audio 3.5mm
  • Kalis percikan air IP53

Kontra

  • Kamera sederhana sahaja.
  • Speaker lantang tetapi menghasilkan getaran terlalu kuat.
  • Masih menggunakan Android 13.
Komen