Carian
Samsung Galaxy F15 5G Kini Rasmi Dengan Bateri 6000mAh
March 4, 2024 Amy Maizuraa

Samsung Galaxy F15 5G dilancarkan secara rasmi di India sebentar tadi. Konsep rekaan peranti ini diambil berdasarkan Samsung Galaxy A15 sebelum ini. Namun begitu ada juga yang berbeza untuk perkakasan dalaman seperti kapasiti bateri lebih besar.

Berkongsi lanjut peranti didatangkan dengan skrin Super AMOLED FHD+ 6.5-inci dengan kadar segar semula 90Hz. Pada masa sama peranti juga dijana dengan cip MediaTek Dimensity 6100+, memori 4/6GB RAM dan storan dalaman 128GB untuk tunjang utama. Selain turut akan menerima sokongan versi Android selama empat generasi dan tampalan sekuriti selama lima tahun.

Sistem kamera pula terdiri dengan 50MP + 5MP + 2MP utama tanpa OIS, diikuti pula 13MP untuk kebolehan swafoto. Bateri 6,000mAh disertakan lebih besar berbanding 5,000mAh yang digunakan pada Galaxy A15. Kemudian ia boleh dicas semula menggunakan port USB-C dan pengecasan 25W.

Lain-lain spesifikasi termasuklah bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari sisi, bluetooth 5.3 dan menjalankan Android 14. Harga jualan bermula INR 12,999 (~RM741) dan INR 14,499 (~RM826) sebuah.

Komen