Cari @ Amanz

Ciri penaiktarafan super resolusi AMD FidelityFX Super Resolution ialah sebuah teknologi gaming dimana kad grafik AMD akan menggunakan sumber dalaman untuk mengolah grafik komputer dengan tetapan grafik yang tinggi pada resolusi rendah, dan kemudiannya menaiktarafkan resolusinya selepas itu.

Secara teorinya ini dapat mengurangkan beban olahan grafik pada sebuah kad grafik tetapi masih lagi mengekalkan kebolehan untuk gaming pada resolusi dan juga kadar bingkai yang lebih tinggi untuk menjimatkan penggunaan kuasa.

Terkini, CTO AMD, Mark Papermaster telah mengumumkan bahawa pada tahun ini, ciri FidelityFX Super Resolution 3 yang diperkenalkan tidak lama dahulu akan menerima satu lagi penaiktarafan teknologi, kali ini dari segi penggunaan kecerdasan buatan untuk membantu pengguna bukan sahaja menggerakkan permainan pada resolusi lebih tinggi, tetapi juga dengan butiran grafik yang lebih banyak.

Penaiktarafan ini akan kelihatan lebih jelas melalui cip pemprosesan APU AMD baru untuk komputer desktop dan komputer riba yang kini merumahkan cip neural AI XDNA. komponen tersebut boleh digunakan untuk menggerakkan proses-proses kecerdasan buatan untuk menambahkan butiran grafik dalam permainan bersama-sama dengan komponen grafik yang akan mengolahkan bingkai-bingkai dalam permainan.

Terdapat banyak butiran yang tidak didedahkan lagi mengenai implementasi teknologi AI ini, seperti bagaimanakah ia akan digunakan untuk memperbaiki lagi mutu grafik dalam permainan, tetapi jangkaan orang ramai ialah ia akan menggunakan data daripada rangkaian neural untuk membuat jangkaan tentang butiran yang perlu ditambah pada bingkai permainan, menyerupai apa yang dilakukan oleh NVIDIA DLSS.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd