Carian
JPJ Akan Memulakan Ujian Pemanduan Elektronik e-Testing Pada April Ini
March 6, 2024 Nazrin

Pada tahun 2022, Jabatan Pengangkutan Jalan telah mula menguji sistem ujian lesen memandu dalam bentuk e-Testing untuk mempermudahkan dan mempercepatkan lagi proses ujian mendapatkan lesen memandu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini telah mengumumkan bahawa ujian pemanduan e-Testing ini akan diperkenalkan bermula April 2024 ini. Dengan ujian pemanduan e-Testing ini, beliau berkata bahawa calon boleh mengambil ujian memandu tanpa penyeliaan fizikal daripada pegawai JPJ di sebelah mereka.

Prestasi calon memandu akan ditetapkan menggunakan kamera dan alat-alat pengesan yang terbina pada kereta, dan keputusan ujian memandu ini boleh dikeluarkan secara serta-merta tanpa sebarang input daripada pegawai JPJ.

Apabila ia diperkenalkan pada bulan April ini, pengguna masih akan diberi pilihan samada untuk mengambil ujian memandu seperti sebelum ini dengan kehadiran pegawai JPJ ataupun mengambilnya menggunakan sistem e-Testing.

Diantara kelebihan yang diperkenalkan dengan ujian e-Testing ini ialah calon boleh membuat percubaan kali kedua sekiranya mereka gagal melepasi mana-mana ujian litar untuk pertama kalinya pada hari yang sama dan tanpa sebarang kos tambahan. Calon juga hanya perlu mengulangi bahagian-bahagian ujian yang gagal sahaja, dan bukan kesemua ujian litar.

Dalam pada itu, JPJ juga telah memberi tempoh masa enam tahun untuk semua sekolah memandu untuk membuat perubahan dari ujian memandu manunal kepada ujian e-Testing. Anthony Loke mengatakan bahawa pihak Kementerian Pengangkutan dan JPJ mempunyai matlamat untuk menjadikan ujian memandu e-Testing sebagai satu-satunya ujian lesen kenderaan menjelang 2030.

Komen