Mangaka terkemuka Akira Toriyama telah meninggal dunia pada 1 Mac lalu. Menerusi hebahan rasmi akaun Bird Studio, mendiang meninggal dunia pada usia 68 tahun disebabkan hematoma subdural akut. Kematian beliau diratapi bukan sahaja peminat manga Jepun tetapi juga dunia komik antarabangsa kerana penglibatan beliau dalam komik legenda seperti Dr Slump, Dragon Quest, Sand Land dan siapa tak kenal dengan Dragon Ball.

Saya menerima berita kematian Toriyama-sama sebaik sahaja mendarat di San Francisco dari Las Vegas sebentar tadi. Rasa tersentak kerana beliau adalah antara idola semasa masih lagi hidung berhingus dan karya-karya beliau mewarnai hidup saya selama lebih 30 tahun lamanya.
Anda mungkin terasa aneh apa kena mengenai Toriyama dengan teknologi? Jawapan saya mudah. Banyak teknologi fiksyen dalam komik, siri TV dan filem menjadi inspirasi kepada teknologi yang kita gunakan sekarang. Oleh itu izinkan saya menulis mengenai beberapa teknologi yang dipaparkan dalam manga Akira Toriyama yang saya benar-benar mahukan menjadi realiti.
PIL CAPSULE

Dari isu pertama lagi manga Dragon Ball berjaya menarik perhatian saya. Sebuah dunia yang moden dan kita diperkenalkan kepada Bulma yang ingin mencari Mutiara Naga. Sebagai anak kepada saintis kaya yang mencipta teknologi kapsul, Bulma bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu risau tentang masa depan. Teknologi kapsul yang dicipta bapa Bulma ialah teknologi yang saya ingin menjadi realiti sejak dahulu lagi.
Bayangkan aplikasinya di dunia sebenar. Kita tidak perlukan kapal kargo yang mencemari alam untuk menghantar jutaan tan kargo antara benua. Pakej barangan yang dibeli daripada kedai atas talian hanya sebesar pil kapsul. Tak perlu risau lagi penghantaran mahal kerana barang yang dibeli mahal. Kalau pergi bercuti pula tak perlu risau ruang bagasi kecil dalam kereta atau dalam kapal terbang. Semuanya sekali lagi boleh dimuatkan dalam pil kapsul yang boleh disimpan dalam kocek seluar sahaja.
TANGKI PERUBATAN FLIZA

Alangkah baiknya jika tangki perubahan Fliza juga menjadi realiti. Sebarang kecederaan dapat dirawat dengan pantas. Ini amat berguna bagi insan tua seperti saya yang kini mengambil masa yang lama untuk pulih dari sebarang bentuk kecederaan dan penyakit. Terlibat dalam kemalangan teruk? Campak dalam tangki. Covid? Tangki. Kanser? Tangki. Yang tidak boleh dirawat menerusi lore Dragon Ball hanyalah kecederaan serius seperti terputus anggota tubuh.
Pasti ada yang mengatakan tangki ini sekadar meniru Tangki Bacta daripada filem Star Wars yang juga tak mampu mengembalikan tangan Luke Skywalker yang terputus. Perbezaannya hanyalah Tangki Fliza mengubati sebarang kecederaan lebih pantas. Letak satu di rumah untuk keperluan peribadi. Tak perlu lagi beli Panadol, pil Chi Kit Teck Aun, ubat batuk cap ibu & anak, jus spirulina atau gelang Edimium bagi memastikan kesihatan tubuh terpelihara.
SCOUT

Siapa yang tak nak mesin Scout angkat tangan? Yang angkat tangan semua penipu. Ini ialah mesin yang melancarkan lebih 9000 meme sejak ia diperkenalkan dalam saya Goku menentang Bezita Kuasa setiap individu di dunia boleh diimbas dengan sekelip mata. Bagaimanakah ini berguna dalam dunia sebenar? Mengelakkan diri daripada dikeroyok apabila bergaduh dengan individu yang tidak dikenali. Sebelum cedera dibelasah baik larikan diri terlebih dahulu jika melihat “kuasa bertarung” mereka lebih tinggi.
Sebenarnya Scout sudahpun “wujud” dalam bentuk Oppo AIr Glass yang sempat saya ulas beberapa tahun lalu. Malahan apabila Google Glass diperlihatkan oleh Sergey Brin pada tahun 2012 ramai yang merasakan ia kelihatan seakan Scout.
AWAN GULING

Ok awan guling bukan teknologi per se tetapi ia satu lagi perkara yang saya inginkan sejak di diperkenalkan dalam komik Dragon Ball. Ia tidak memerlukan bateri untuk beroperasi. Tidak menghasilkan pencemaran udara dan boleh bergerak pantas di udara. Ia adalah penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas yang sedang dihadapi umat manusia yang tinggal di bandar-bandar utama.
Kerana awan guling hanya boleh digunakan oleh insan dengan “hati yang kudus” seperti Goku, kita tidak akan mempunyai masalah “buli awanan” atau sebarang pengguna yang tidak mempunyai pertimbangan perasaan ketika memandu di atas jalan raya. Ia kan menjadi pengangkutan pilihan manusia yang baik-baik sahaja. Yang keji boleh terus memandu di jalan raya yang sesak.

Saya tahu senarai ini mungkin terlalu memberikan tumpuan kepada Dragon Ball sahaja tetapi hakikatnya ia satu-satunya manga/siri anime yang dikenali ramai. Ada teknologi menarik daripada Dr Slump, Kajika, Sand Land dan banyak tetapi dengan kematian mengejut Akira Toriyama dan saya bekerja dari terminal lapangan terbang ini sahaja yang mampu dikarang pada waktu ini.
Terima kasih Akira Toriyama kerana menghasilkan karya yang benar-benar mendatangkan impak kepada generasi X dan ke atas. Selamat tinggal dan selamat berjalan di Jalan Naga.