Carian
Gambaran Beberapa Rekaan Apple Car Yang Dibatalkan Kini Diketahui
March 11, 2024 Effi Saharudin

Apple membatalkan Project Titan yang merupakan usaha sulung mereka untuk menghasilkan sebuah kenderaan elektrik dengan kemampuan swapandu dua minggu lalu. Isu mengenai teknologi, rekaan dan kehilangan tenaga kerja memaksa Apple membatalkan projek “Apple Car” mereka. Kini tumpuan diberikan pula sepenuhnya kepada pembangunan AI generatif mereka sendiri.

Mark Gurman menerusi Apple Power On Newsleter kini mendedahkan terdapat beberapa rekaan yang pernah digunakan untuk Project Titan. Rekaan pertama menerima sentuhan daripada Sir Jony Ive dengan ia kelihatan seperti sebuah van Volkswagen microbus. Nama samaran yang digunakan untuk rekaan ini ialah Bread Loaf kerana ia mirip sebuku roti.

Volkswagen ID.Buzz Kombi

Bread Loaf boleh menempatkan empat penumpang dengan tempat duduk di bahagian dalam adalah mirip yang digunakan dalam pesawat peribadi mewah. Pintu dibuka seperti van ke sisi yang memudahkan akses ke ruang penumpang yang luas. Rekaan seakan Volkswagen microbus ini telah digunakan Apple sebelum Volkswagen ID Buzz diperlihatkan. Menarik sekali terdapat kakitangan Project Titan yang berpindah ke Volkswagen sebelum prototaip ID Buzz diperlihatkan kepada umum.

Canoo versi trak

Rekaan kedua masih lagi mengekalkan rekaan bulat tetapi dikatakan mirip van Canoo. Penumpang boleh berbaring dengan selesa. Terdapat iterasi rekaan sebuah TV besar di bahagian tengah atau dua skrin sebesar iPad yang boleh dilipat ke bumbung apabila tidak digunakan. Dalam rekaan asal kenderaan tidak mempunyai stereng atau kluster maklumat pemanduan kerana ia direka untuk mempunyai kemampuan swapandu Tahap 5. Tetapi dengan teknologi swapandu Tahap 5 belum mampu dihasilkan, ia diubah kepada swapandu Tahap 2 dan kesemua stereng, pedal dan papan pemuka dikembalikan

Beberapa iterasi seterunya membawakan perubahan pada pintu dibuka ke atas seperti sayap burung Model X da juga perubahan pada bahagian hadapan yang lebih landai. Setakat ini kesemua rekaan dan imej lakaran Project Titan belum pernah tertiris. Tetapi mungkin masa hadapan ia akan tertiris juga akhirnya seperti prototaip awal iPhone dan iPod sebelum ini.

Komen