Perang cip antara Amerika Syarikat dan China sudah berlarutan selama beberapa tahun. Amerika mengehadkan akses kepada cip serta mengenakan tarif yang tinggi untuk produk yang diimport daripada China. China pula mula mengehadkan akses kepada bahan mentah penting seperti galium sebagai balasan. Sedang panda dan helang botak bergaduh antara satu sama lain, harimau Malaya yang tersepit di antara dua kuasa besar ini mengaut keuntungan berlipat ganda.
Menurut laporan Financial Times, Malaysia menjadi destinasi pilihan syarikat cip dan yang terlibat dalam industri semikonduktor disebabkan pertelagahan Amerika dan China. Syarikat seperti Micron, Intel AMS Osram, Infineon, dan Fengshi Metal Technology meningkat pelaburan mereka di Pulau Pinang kerana melihat Malaysia sebagai destinasi yang mesra kepada kedua-dua negara. Muncul laporan pekerja syarikat-syarikat ini digoda dengan peningkatan gaji sehingga 30% untuk berpindah.
Tahun lalu Pulau Pinang mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) lebih RM60 bilion yang adalah lebih besar berbanding FDI gabungan antara tahun 2013 hingga 2020. Pulau Pinang mempunyai pedigri sebagai pusat pengeluaran cip sejak 50 tahun lalu dengan pembukaan kilang Intel di Bayan Lepas. Ramai pasti pernah melihat cop “buatan Malaysia” pada setiap cip Intel yang dikeluarkan.
Selama ini Malaysia hanya menjadi lokasi penghasilan cip kelas kedua yang tidak begitu canggih. Tetapi dengan banyak syarikat mencari lokasi pengeluaran alternatif kepada China, Malaysia berada di posisi yang terbaik untuk menjadi pusat pengeluar cip kelas pertama di rantau Asia Tenggara. Malahan penutupan kilang cip automotif di Malaysia akibat pandemik menyebabkan pengeluaran kereta global terjejas teruk.
Intel telahpun mengumumkan pelaburan RM30 bilion dalam industri semikonduktor Malaysia pada tahun 2021 ketika CEO Pat Gelsinger melalukan lawatan ke Pulau Pinang. Micron pula bari sahaja membuka pusat pemasangan dan ujian terbaru di Batu Kawan. Dalam situasi ini jelaslah apabila panda dan helang bercakaran, harimau Malaya santai di tengah-tengah menanti keputusan perlawanan sambil menikmati nasi kandar yang surr.