Adakah Apple Vision Pro gimik atau produk yang berguna. Kita masih belum mempunyai jawapan muktamad untuk persoalan ini. Di UK, ia disahkan dapat membantu ketika melakukan prosedur pembedahan. Suvi Verho seorang jururawat dan juga pembantu juru bedah menggunakan Vision Pro ketika membantu melakukan prosedur pembedahan di Cromwell Hospital, London dua minggu lalu.

Sebelum ini beliau menggunakan set kepala Microsoft HoloLens 2 untuk melakukan tugas yang sama. Set kepala boleh mengenalpasti alat pembedahan yang ingin digunakan. Dekat hanya memandang instrumen, ia boleh dikenalpasti oleh set kepala. Ia turut dapat mengurangkan berlakunya kesilapan di dalam teater pembedahan.

Menurut Dr. Syed Aftab yang melakukan pembedahan, set kepala mengurangkan masa pembantu juru bedah mengenal pasti instrumen pembedahan yang digunakan. Tanpa tempoh latihan yang panjang, pembantu juru bedah boleh menjalankan tugas dengan bantu set kepala AR seperti Vision Pro.
Perisian eXeX digunakan untuk membantu prosedur dengan elemen maya digabungkan menerusi teknologi AR. Sebelum ini ia hanya digunakan pada HoloLens 2 dan hanya kini ditawarkan pada Vision Pro. Dengan Microsoft tidak lagi mempunyai perancangan menyokong HoloLens 2, Vision Pro kini mengambil alih tempatnya sebagai set kepala AR untuk kegunaan industri.