Baru-baru ini, pada awal tahun, ramai dikejutkan dengan dakwaan kumpulan penggodam dikenali R00TK1T yang menyatakan telah menyerang pengendali telekomunikasi tempatan, Maxis.

Berkongsi berkenaan dengannya di Parlimen hari ini, Menteri Digital memaklumkan yang mana Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah melaksanakan siasatan susulan, dan mendapati tiada data peribadi yang terlibat berdasarkan kepada sampel data dikemukakan.
Mengikut semakan berkenaan dakwaan kumpulan penggodam berkenaan, ia didapati hanya portal Maxis Interactive Retail Assistant (MIRA) Queue Management System di satu cawangan Maxis sahaja yang terkesan. Sistem berkenaan dikatakan tidak mempunyai sebarang sambungan kepada mana-mana sistem kritikal Maxis.
Menteri Digital turut menekankan yang mana CyberSecurity Malaysia, JPDP serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sentiasa menjalankan pemantauan berterusan untuk memastikan keselamatan data dan juga infrastruktur digital negara selamat.