Cari @ Amanz

Sudah lama saya tidak melihat sebuah telefon pintar bekerjasama dengan pengeluar produk audio. Sejak kebelakangan ini kebanyakannya menggunakan Dolby Atmos atau Dirac sahaja. Akan datang, telefon baharu Infinix akan mempunyai speaker daripada HARMAN.

Telefon ini adalah siri Infinix NOTE 40 dan pakar audio HARMAN telah memuatkan teknologi audio Sound by JBL untuk peranti-peranti ini. Speaker pada peranti baharu Infinix ini telah direka dan ditala oleh JBL untuk audio 360 darjah yang imersif dan simetri serta konsisten. Komponen speaker dan algoritma audio turut disediakan oleh JBL bagi memastikan peranti kelas pertengahan ini mempunyai kualiti audio terbaik di pasaran.

Buat masa ini masih tidak pasti adakah kesemua NOTE 40, NOTE 40 Pro, NOTE 40 Pro 5G atau NOTE 40 Pro Plus 5G akan menerima teknologi speaker yang sama atau model yang premium sahaja. Kesemua peranti ini akan dilancarkan di Malaysia pada 18 Mac. Siri Infinix NOTE 40 turut akan dijana cip Cheetah X1 untuk sistem pengecasan pantas All-Round Fast Charge 2.0 dan juga MagCharge. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd