Jenama di bawah Transsion iaitu Infinix sedang rancak berkembang di Malaysia. Semakin ramai mengenali jenama ini dan semakin ramai juga saya melihat orang menggunakan jenama ini. Dalam masa beberapa hari lagi, siri Note 40 akan dilancarkan sebagai pencabar peranti kelas pertengahan premium. Baru-baru ini mereka mendedahkan yang peranti Note 40 akan dilengkapi dengan cip tersuai mereka sendiri iaitu Cheetah X1.
Buat masa ini masih tidak pasti sama ada adakah Note 40, Note 40 Pro, Note 40 Pro 5G, Note 40 Pro Plus 5G atau kesemuanya akan mempunyai cip ini. Tetapi apa yang pasti adalah cip ini akan membantu peranti mengendalikan sistem pengecasan pantas All-Round FastCharge 2.0 yang dijangka adalah 100W. Selain itu, cip ini turut akan menjayakan fungsi MagCharge iaitu sistem pengecasan nirwayar bermagnet Infinix (adakah Qi2?).
Infinix turut pernah memperlihatkan teknologi All-Round FastCharge dengan kuasa pengecasan 260W. Ia boleh mengecas peranti dari 0% ke 100% dalam masa 7.5 minit. Tetapi kami yakin ia tidak akan disertakan pada siri Note 40. Setiap peranti di bawah siri ini akan dijana cip Helio G91, Helio G99 atau Dimensity 7020. Sama-sama kita nantikan pelancaran peranti ini tidak lama lagi.