Carian
Google SIMA Adalah AI Yang Membantu Manusia Main Permainan Video
March 14, 2024 Fahim Zahar

AI yang berkaitan dengan permainan bukanlah satu perkara baharu. Kita sudah lihat AI menewaskan manusia dalam permainan catur, e-sukan atau juga sukan dron. Setiap AI ini dibangunkan untuk menang bagi menguji kemampuannya menewaskan manusia. Tetapi SIMA adalah AI permainan video yang berbeza. Ia dilatih bukan untuk dia sendiri menang, tetapi membantu pemain manusia menang.

SIMA atau  Scalable, Instructable, Multiworld Agent adalah AI yang dibangunkan oleh Google DeepMind. Ia dilatih untuk melengkapkan apa jua jenis permainan seperti dunia terbuka atau yang tiada jalan cerita tetap. SIMA boleh menerima dan tunduk akan arahan pengguna dan memahami dunia 3D permainan video. AI ini juga bukanlah satu ciri atau fungsi yang terbina dalam permainan kerana SIMA tidak boleh mengakses kod permainan video tetapi seakan pembantu kepada pemain utama.

Untuk melatih sistem ini Google bekerjasama dengan lapan pembangun seperti Hello Games, Embracer, Tuxedo Labs, Coffee Stain dan banyak lagi. SIMA turut dilatih dengan video orang yang main permainan video No Man’s Sky, Teardown, Valheim, dan Goat Simulator 3 serta AI ini bermain permainan itu sendiri dengan arahan pemain. Google turut merakam video dua orang bermain iaitu seorang kawal dan seorang beri arahan untuk SIMA memahami cara manusia bermain.

Menurut Google DeepMind, SIMA kini mempunyai 600 skill berbeza seperti membelok, memanjat tangga dan buka menu untuk mengakses peta. SIMA hanya mampu melakukan tugasan ringkas tetapi diyakini kelak boleh menyelesaikan terus satu misi dalam mana-mana permainan video. Dengan kata lain jika anda adalah pemain utama atau yang pertama, SIMA akan menjadi pemain kedua untuk membantu bukan untuk bertanding.

Komen