Carian
Honor Membuka Pusat Khidmat Eksklusif Pertama Di Pavilion Embassy, Kuala Lumpur
March 14, 2024 Amy Maizuraa

Honor dilihat aktif mengukuhkan pemasaran produk di pelbagai pasaran termasuk Malaysia dengan menawarkan peranti berspesifikasi menarik. Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada Honor, bahkan boleh disifatkan antara cara terbaik dalam usaha meningkatkan kepuasan pelanggan.

Honor meneruskan lagi komitmen ini dengan mengumumkan pelancaran pusat khidmat eksklusif pertama di Pavilion Embassy, Kuala Lumpur. Ia menjadi pusat utama untuk orang ramai mendapat khidmat nasihat mengenai produk yang dibeli oleh mereka. Pada masa sama pelbagai tawaran istimewa masa terhad juga disediakan bersempena pelancaran tersebut.

Ia termasuk khidmat penggantian skrin dan pembaikan peranti yang telah tamat jaminan. Ia disediakan secara percuma untuk mana-mana peranti Honor. Selain itu terdapat juga hadiah misteri disediakan untuk dibawa pulang oleh setiap pengunjung yang hadir.

Untuk makluman Honor Magic6 Pro bakal ke pasaran tempatan pada Rabu akan datang. Anda yang berminat boleh membuat tempahan awal dengan meletakkan deposit serendah RM66. Turut diberikan ialah hadiah eksklusif sehingga RM2,259 yang termasuk Honor SuperCharge Wireless Charger Stand, Honor Watch 4, Honor Earbuds X6, waranti tambahan selama setahun dan jaminan perlindungan skrin retak selama setahun.

Selain itu, pembeli terawal juga layak mendapat sehingga 5X ganda rebat deposit ketika membuat pembayaran penuh kelak. Harga jualan rasmi masih belum didedahkan tetapi kami di Amanz akan berkongsinya kelak.

Komen