November tahun lepas, YouTube telah mengumumkan yang video dengan kandungan kecerdasan buatan perlu dilabel oleh pemilik saluran. Ini kerana teknologi AI generatif semakin canggih sehingga kadangkala imej yang dijana sukar dibezakan dengan imej sebenar. Baru-baru ini, YouTube menjelaskan lagi video mana yang perlu dilabelkan.
Menurut YouTube video yang jelas sekali telah diubahsuai, disunting atau dijana seperti animasi, kesan khas, penuras, kesan pencahayaan, elemen fantasi dan yang seangkatan dengannya tidak perlu dilabelkan. Video yang perlu adalah;
- Menggunakan iras individu sebenar: Biasanya adalah video deepfake atau CGI yang mimik orang lain yang wujud di dunia sebenar atau juga yang meniru suara.
- Mengubahsuai video lokasi dan acara: Misalnya konsep What If untuk sejarah sebenar, kisah alternatif, pemandangan bandar palsu yang dan lain-lain.
- Adegan realistik yang dijana: Video yang dijana 100% tetapi nampak realistik seperti puting beliung menyerang sebuah bandar.
Kandungan seperti ini perlu dilabel dengan saluran yang kerap kali gagal melakukannya boleh digantung daripada YouTube Partner Program dan video tersebut akan dipadam. Penalti yang lain juga boleh dikenakan sekiranya garis panduan terus dilanggar.
Label Altered or synthetic content ini akan dipaparkan pada pemain video YouTube di bahagian hadapan atau juga pada deskripsi video. Ia akan mula muncul pada aplikasi peranti mudah alih, kemudian di PC dan barulah ke televisyen. Dengan label ini, penonton kelak boleh tahu sama ada video yang ditonton itu benar atau palsu.