Cari @ Amanz

Honor Magic6 Pro didatangkan dengan banyak peningkatan menarik yang boleh dimanfaat oleh peminat dan pengguna. Salah satu daripadanya mempunyai kemampuan kamera serba boleh yang juga diberi inovasi lebih luas berbanding sebelum ini.

Ia dilihat seakan membuahkan hasil yang baik apabila peranti dilihat kembali merampas takhta tempat pertama di carta DxoMark. Sekaligus mengalahkan dua juara terdahulu iaitu Huawei Mate 60 Pro+ dan Oppo Find X7 Ultra dengan perbezaan sebanyak 1 mata dibelakang.

Kemaskini menunjukkan kamera utama Magic6 Pro mencatatkan skor keseluruhan tertinggi sebanyak 158 mata. Untuk ringkasan pula, peranti menerima 160 mata untuk keupayaan gambar dan zum, 85 mata untuk kemampuan bokeh dan 150 untuk rakaman video.

Pujian diberikan pada keupayaan kamera menghasilkan gambar berkualiti tinggi dalam kebanyakan situasi khususnnya dalam pencahayaan rendah. Seterusnya sistem aperature yang boleh diubah juga berfungsi dengan baik terutamanya bagi tangkapan potret secara berkumpulan. Keupayaan zum juga baik terutamanya apabila mengambil gambar ultra-lebar, di samping hasil rakaman video berkualiti turut boleh dihasilkan dalam pencahayaan terang.

Kritikan pula diberikan pada masalah rakaman video yang kurang memuaskan dalam pencahayaan rendah. Peralihan warna yang tidak konsisten sewaktu melihat kandungan pada skrin. Kemudian penstabilan kamera hadapan juga tidak konsisten sewaktu digunakan untuk mengambil video.

Honor Magic6 Pro bakal dilancarkan di Malaysia pada 20 Mac 2024. Penawaran penuh termasuklah ketersediaan dan harga jualan akan kami kongsikan dalam kemaskini artikel yang akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd