Qualcomm Snapdragon 7+ Gen 3 pula telah dilancarkan secara rasmi hari ini sebagai cip kelas pertengahan 4nm yang mempunyai kemampuan menjalankan kecerdasan buatan (AI) generatif pada peranti. Sungguhpun ia sebuah cip daripada kelas Snapdragon 7, dari segi spesifikasi ia lebih mirip siri Snapdragon 8.

Ini adalah kerana Snapdragon 7+ Gen 3 menggunakan penggunaan lapan dengan konfigurasi kluster 1+4+3 CPU Kryo serta GPU Adreno yang terkini. Teras utama CPU Cortex-X4 berfungsi pada kelajuan 2.8 GHz, 4x CPU Cortex-A720 2.6 GHz, dan 3x CPU Cortex-A520 pada kelajuan 1.9 GHz.
Spesifikasi CPU adalah hampir sama dengan Snapdragon 8s Gen 3 cuma dengan kelajuan CPU yang lebih rendah. Satu lagi perbezaan ialah 7+ Gen 3 hadir dengan GPU Adreno 732 dan bukannya Adreno 735 seperti pada 8s Gen 3.

Menerusi penggunaan CPU baharu, Snapdragon 7+ Gen 3 menawarkan peningkatan sehingga 15% pada CPU, 45% pada GPU dan kecekapan penggunaan tenaga pula meningkat 5% berbanding cip generasi terdahulu. Ini menjadikannya cip kelas pertengahan paling berkuasa dihasilkan oleh Qualcomm setakat ini. Turut boleh digunakan ialah memori LPDDR5X serta storan UFS 4.0 yang pantas.
Sistem modem pula sekadar Snapdragon X63 5G yang menyokong muat turun sehingga 4.2Gbps bukannya Snapdragon X70 5G yang digunakan pada 8s Gen 3. Peranti dengan cip ini masih menyokong WiFi 7 yang pantas serta sistem audio spatial Snapdragon Sound.

Peningkatan diberikan kepada kemampuan kamera dengan sokongan sensor sehingga 200MP. Buat pertama kali dalam siri Snapdragon 7, ia dilengkapi Spectra Cognitive Triple 18-bit ISP yang membolehkan ketiga-tiga kamera pada peranti digunakan secara serentak. Kemampuan merakam gambar dalam mod RAW 18-bit dan Ultra HDR juga disertakan sekali.
Penekanan kepada kemampuan kecerdasan buatan (AI) sama sahaja degan NPU membolehkan menjalankan model seperti Baichuan-7B, Llama 2, Gemini Nano dan Zhipu ChatGLM dijalankan terus dari peranti tanpa sambungan internet.
Peranti terawal disahkan akan menggunakan Snapdragon 7+ Gen 3 ialah keluaran OnePlus yang masih belum diumumkan. Selain itu Realme dan SHARP juga bakal menawarkan peranti dengan cip ini dalam masa terdekat.