Sewaktu acara CES 2024 pada awal tahun ini, diantara produk yang diperkenalkan oleh ASUS ialah komputer NUC yang bertemakan jenama gaming Republic of Gamers mereka. ASUS telah membeli jenama NUC (Next Unit of Computing) dari Intel pada tahun lepas, dan telah memperkenalkan beberapa produk baru dalam siri tersebut.
Terkini, sebuah gudang atas-talian di Eropah telah membuka pra-tempahan untuk komputer ROG NUC ini, memperlihatkan spesifikasi berkuasa seperti cip Intel generasi ke-14 Intel Core Ultra 9 185H dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070. Ia juga dilihat akan hadir bersama-sama memori DDR5 sebanyak 32GB dan storan SSD 1TB.

Ia akan dijual pada tanda harga €2,500, ataupun sekitar RM12,900 menjadikannya komputer NUC yang paling mahal yang akan dijual setakat ini. Menariknya, seperti komputer desktop, malah komputer NUC yang lain, pengguna juga boleh memilih untuk menaiktarafkan komponen-komponen seperti memori dan storan ke saiz yang lebih besar sekiranya dimahukan.
Laman web yang sama mengatakan bahawa desktop ASUS ROG NUC ini akan mula dijual pada 10 April ini. Kami telah bertanya kepada ASUS Malaysia untuk mengetahui samada mereka akan membawa produk ini untuk pasaran tempatan.