Mereka yang aktif bermain permainan video dan menstrim sesi bermain pasti akan memiliki set mikrofon yang hebat-hebat. Mereka yang terkenal dan profesional akan menggunakan mikrofon seperti Shure atau Rhode tetapi yang setia dengan jenama gaming kegemaran pasti akan memilih mikrofon seperti Steel Series Alias. Terbaru, ASUS melancarkan mikrofon kondensor gaming tersendiri ROG Carnyx.
ROG Carnyx adalah mikrofon USB-A ke USB-C dengan kapsul mikrofon 25mm, corak polar kardioid, mempunyai cagak keluli kejut (metal shock mount), sistem pembatalan hingar High-pass filter, mempunyai sistem pencahayaan RGB serta dua kawalan terbina iaitu butang senyap dan tombol berputar multi-fungsi.
Menurut ASUS, ROG Carnyx akan memberi kualiti audio tahap studio dan boleh memastikan suara pemain sentiasa jelas dan lantang tanpa sebarang gangguan seperti hingar atau dengungan. ASUS Malaysia menawarkan dua warna iaitu hitam atau putih pada harga RM838. Ia sudah boleh dibeli di kedai atas talian rasmi Lazada dan Shopee mereka.