Legasi Samsung Galaxy Siri A kini diteruskan dengan penawaran Samsung Galaxy A35 yang merupakan sebuah peranti kelas pertengahan dengan penawaran harga mampu milik . Namun, adakah harga yang ditawarkan sepadan dengan spesifikasi dan prestasi yang tersedia?. Setelah mengujinya untuk beberapa minggu tempoh penggunaan, di sini saya akan kongsikan ulasan mengenainya.
SPESIFIKASI
Samsung Galaxy A35 5G | |
Skrin | 6.6″ AMOLED, 120HZ |
Pemproses | Exynos 1380 (5nm) |
Cip | 4×2.4 GHz Cortex-A78 4×2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G68 MP5 |
RAM | 8GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.8 (Lebar) 8MP, f/2.2 (Ultra-lebar) 5MP (Makro) |
Kamera Swafoto | 13MP f/2.2 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 25W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM/5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP67 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari bawah skrin / Wajah |
Harga Jualan | RM 1699 (8/256 GB) |
SKRIN
Skrin 6.6″ Super AMOLED dengan resolusi 1080 x 2340 piksel. Persediaan kadar segar semula sehingga 120Hz tersedia dan boleh diubah tetapannya kepada 60Hz untuk penjimatan bateri yang lebih baik. Skrin adalah daripada jenis Gorilla Glass Victus+ yang menjamin ketahanan skrin daripada mudah calar dan pecah jika terjatuh.

Semua paparan yang ditunjukkan adalah sangat baik sekaligus memberikan pengalaman menonton kandungan video yang cemerlang. Dari segi paparan memang tiada sebarang ralat yang nak saya adukan kerana paparannya cantik dengan warna yang terang dan cantik. Paparan skrin sudahpun mengagumkan tetapi ketebalan bezel di sekeliling skrin adalah terlalu ketara. Terdapat satu bulatan kecil di bahagian atas skrin yang berfungsi sebagai kamera swafoto.

BIOMETRI
Bagi ciri keselamatan dan privasi, pengimbas cap jari dibina di bahagian bawah skrin yang dapat berfungsi dengan baik asalkan jari tidak basah dan kotor. Walau bagaimanapun ciri imbasan wajahnya tidak begitu pantas dan ada masanya gagal mengimbas wajah sehinggakan saya perlu melakukan percubaan beberapa kali untuk menyah-kunci peranti meskipun dalam ruangan yang cukup pencahayaan.
Jika dalam ruangan gelap pastinya lebih baik saya mengalah dan menyah-kunci peranti menggunakan imbasan cap jari atau memasukkan kata laluan. Ini mungkin disebabkan oleh persediaan kamera hadapan yang sekadar 13MP.
REKAAN
Bukan setakat sekali pandang, tapi kalau dipandang berkali-kali sekalipun rekaan A35 ini terlihat sangat serupa dengan model A55 cuma binaan panel tubuhnya sahaja yang berbeza. Bagi model A35 ini tubuh belakangnya terbina daripada panel plastik bersama dengan bingkai logam. Rekaan tubuhnya adalah rata dan tubuh peranti terasa selesa dalam genggaman.
Di bahagian sisi peranti terdapat sedikit lekuk yang direka khas untuk cengkaman tangan yang lebih selesa. Jika skrin dihadapkan ke hadapan, anda akan dapati butang kuasa dan butang laras suara terletak di bahagian kanan dan tiada sebarang butang di bahagian kiri. Bahagian atas pula menempatkan slot untuk kad SIM dan lubang mikrofon. Manakala di bahagian bawah pula terdapat speaker, lubang pengecas USB-C dan juga lubang mikrofon. Pada tubuh belakang pula terdapat tiga bonggol kamera dengan bonggol yang sedikit timbul bersama logo Samsung di bahagian bawah.

A35 ditawarkan dalam tiga jenis pilihan warna iaitu warna Awesome IceBlue, Awesome Navy dan warna yang saya uji ini pula ialah warna Awesome Lilac. Ketiga warna yang ditawarkan ini adalah warna pastel yang terlihat sangat minimalis, bergaya dan cantik. Terdapat juga ciri IP67 pada peranti yang menjadikannya kalis air dan habuk.
PENGGUNAAN & PERISIAN
Sistem operasi One UI 6.1 berasaskan kepada Android 14 digunakan untuk menjalankan perisian peranti. Paparan antara muka adalah kemas serta tiada sebarang masalah untuk memuat turun sebarang aplikasi. Semasa menggunakan peranti ini dalam tempoh ujian, saya sedar akan isu pemanasan yang berlaku pada peranti adalah sangat ketara pada minggu pertama penggunaan.
Jika isu pemanasan itu berlaku ketika saya memainkan permua secara ekstrem pada tetapan resolusi tinggi mungkin saya masih dapat menerimanya. Tetapi peranti menjadi panas walaupun saya hanya sekadar mengecasnya atau menghidupkan Hotspot. Namun, saya dapati isu pemanasan melampau pada tubuh peranti ini hanya berlaku pada beberapa hari awal penggunaan, selepas beberapa hari menggunakannya barulah isu pemanasan melampau ini semakin reda.

Cip pemproses yang digunakan pada peranti ialah cip Exynos 1380 (6nm) yang pada hemat saya ia merupakan cip yang agak berusia dan pastinya memberikan pengaruh besar kepada pengalaman penggunaan dan prestasi peranti. Ia adalah cip yang sama digunakan pada Samsung Galaxy A54 tahun lalu.
Justeru itu masalah seperti isu pemanasan dan juga lengah masa yang saya nyatakan tadi sedikit-sebanyak pastinya berkait dengan jenis cip pemproses yang digunakan. Peranti turut dilengkapi dengan saiz memori 8GB RAM dan saiz storan 256GB dengan ciri penambahan RAM maya yang boleh dikembangkan sehingga 8GB.
Seperti peranti Galaxy A yang lain, Samsung Galaxy A35 turut diberikan sokongan kemas kini 4 versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti. Samsung menawarkan sokongan kemas kini terbaik dalam kelas pertengahan pada ketika ini.
PENANDA ARAS

Antutu 3D Benchmark
- Samsung Galaxy A35 – 503,093
- Nothing Phone (2a) – 685,115
- Oppo Reno 11 5G – 501800
Geekbench 6
- Samsung Galaxy A35 – 780 / 2700
- Nothing Phone (2a) – 1110 / 2589
- Oppo Reno 11 5G – 797/2254
Wildlife Extreme
- Samsung Galaxy A35 – 810
- Nothing Phone (2a) – 1157
- Oppo Reno 11 5G – 2278
Keputusan hasil ujian penanda aras menunjukkan catatan skor yang sekadar memuaskan dimana ia dilihat lebih rendah berbanding dengan catatan skor Nothing Phone 2(a) dan Oppo Reno11 5G. Menggunakan peranti untuk memainkan permua pada tetapan resolusi paling tinggi adalah kurang memuaskan. Sebaliknya pada tetapan biasa, permua dapat dimainkan dengan lebih lancar tetapi masih mengalami isu pemanasan.
Saya bertanya kepada ketua editor Effi yang mengulas A54 tahun lalu untuk mengetahui sama ada isu yang sama alami pada A34 juga berlaku pada peranti yang beliau ulas. Beliau berkata ini tidak berlaku dan tahun lalu A54 adalah antara peranti yang lancar operasinya. Maka saya tidak tahu apakah yang berlaku menyebabkan A34 mempunyai prestasi yang sedikit kurang memuaskan.
KAMERA
Pada hemat saya, persediaan kamera pada peranti adalah agak rendah untuk sebuah telefon pintar yang berharga RM1699. Kameranya menggunakan 50MP (kamera utama), 8MP (ultra-lebar) dan 5MP (makro) yang memberikan hasil gambar yang kurang tajam tetapi warna masih terang dengan pencahayaan yang cukup.



Hasil gambar pada waktu malam juga tidak begitu mengagumkan dimana saya dapati banyak kesan hingar dan juga keperincian yang tidak begitu terpelihara. Namun kejelasan gambar masih dijaga meskipun kualitinya pada hemat saya adalah rendah dan tidak mencapai jangkaan untuk sebuah kamera peranti kelas pertengahan.


BATERI
Ada yang positif tentang baterinya ialah ia sebesar 5000mAh yang mampu bertahan cukup lama. Misalnya saya mulakan pagi saya dengan persediaan peratusan bateri penuh, saya hanya akan perlu mengecasnya semula sebelum saya tidur sekitar jam 11 atau 12 malam dan ini adalah dari segi kadar penggunaan biasa saja.

Bagi kadar penggunaan yang lebih ekstrem dengan memainkan permua secara berulang dalam jangka masa lama pastinya akan mempengaruhi kadar penjimatan bateri. Tetapi kekecewaan sebenar yang saya rasai sepanjang menggunakan peranti ini ialah sokongan pengecasannya hanya terhad kepada 25W. Ini menjadikan masa yang diambil untuk mengecas penuh bateri peranti mengambil masa lebih sejam untuk penuh.
AUDIO
Sistem audio yang tersedia adalah cukup baik dengan speaker stereo yang memberikan pengalaman mendengar muzik dan menonton kandungan video yang jelas. Namun, tiada lubang bicu audio yang terbina pada tubuhnya yang memerlukan saya mengenakan fon telinga nirwayar jika tidak mahu mendengarkan audio secara terus daripada speaker.

PERANTI PESAING
Samsung Galaxy A35 | Nothing Phone (2a) | Oppo Reno11 5G |
6.6″ AMOLED 120Hz1080 x 2340 (~390 ppi)120Hz, 1000nits | 6.7″ AMOLED, 1084 x 2412 (~394 ppi) Gorilla Glass 5, 30Hz-120Hz, 1300 nits | 6.7″ AMOLED, 120Hz, HDR10+, 120Hz |
Exynos 1380 (5nm) 4×2.4 GHz Cortex-A784x2.0 GHz Cortex-A55 | MediaTek Dimensity 7200 Pro (4nm) 2x 2.8 GHz Cortex-A7156x 2.0 Cortex-A510 | Dimensity 7050 (6nm) 2×2.6 GHz Cortex-A78 6×2.0 GHz Cortex-A55 |
Mali-G68 MP5 | Mali-G610 MC4 | Mali-G68 MC4 |
6/8 GB RAM | 12GB + 8GB Maya | 12 GB RAM |
128/256GB ROM | 256GB ROM | 256GB ROM |
Kamera Utama 50 MP, f/1.8 (Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra lebar) 5 MP, f/2.4 (Makro) | Kamera Utama 50 MP, f/1.88, OIS & EIS (Sudut Lebar) 50 MP, f/2.2 (Sudut Ultra Lebar) | Kamera Utama50MP f/1.8 (Sudut lebar) 12MP f/2.2 (Ultra sudut lebar) 5MP f/2.4 (Makro) |
Kamera Hadapan 13MP f/2.2 | Kamera Hadapan 32 MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 32MP f/2.4 |
IP67 | IP54 | Tidak Kalis Air |
Tiada Bicu Audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio stereo | Audio stereo | Audio Stereo |
5000 mAhBerwayar 25W | 5000 mAhBerwayar 45W | 5000 mAh Berwayar 67W |
RM1699 (8/256GB) | RM1699 (12/256 GB) | RM1899 (12/256GB) |
DALAM KOTAK
1x Samsung Galaxy A35.
1x Kabel Pengecas USB-C ke USB-C.
1x Manual.
1x Pin SIM.

KESIMPULAN
Secara keseluruhan apa yang dapat saya simpulkan ialah Samsung Galaxy A35 adalah sebuah peranti kelas pertengahan yang berupaya memberikan pengalaman penggunaan yang baik dan dapat menjalankan peranannya sebagai peranti harian yang berguna. Tetapi dari segi penawaran harga iaitu RM1699 saya rasakan kurang berbaloi.

Ini kerana lebih banyak peranti dengan spesifikasi yang jauh lebih padu turut ditawarkan pada tingkat harga yang sama. Jika ingin dibandingkan dengan model A55, dari segi prestasi mungkin model A55 adalah lebih baik tetapi jika anda mahukan peranti dengan penawaran harga yang lebih rendah dengan spesifikasi yang hampir sama dengan model A55, maka model Samsung Galaxy A35 ini boleh dipertimbangkan.
Alternatif lain ialah beli sahaja Samsung Galaxy A54 yang mempunyai spesifikasi setanding tetapi dengan kamera lebih baik. Pada ketika ini A54 boleh dibeli pada harga sekitar RM1400-RM1500 sahaja.
PRO
- Rekaan yang minimalis, cantik dan bergaya.
- One UI 6.1 yang sama dengan peranti mercu Samsung.
- Paparan skrin yang cantik.
- Memiliki Sistem sekuriti Knox Vault.
- Kemas kini 4 versi Android dan tampalan sekuriti 5 tahun.
KONTRA
- Bezel tebal.
- Sokongan pengecasan hanya 25W.
- Fungsi imbasan wajah yang mengesan dengan perlahan dan kerap gagal.
- Persediaan kamera kurang memuaskan.
- Masalah pemanasan.
