Pelanggan Spotify Premium Kini Boleh Akses Pemain Mini Di Komputer
Fahim Zahar
Spotify baru-baru ini telah memperkenalkan pemain mini untuk pengguna Windows dan Mac. Selama ini, aplikasi Spotify pada komputer hanya menyokong tetingkap penuh yang mana agak menjengkelkan. Setiap kali semasa menggunakan aplikasi lain seperti pelayar web, untuk tukar lagu atau langkau dan sebagainya tetingkap Spotify harus dibuka.

Pemain mini berfungsi secara kendiri dan boleh terapung di mana-mana tetingkap tidak kira aplikasi apa. Pengguna boleh ubah saiz sendiri, ia boleh memainkan video, muzik dan juga podsiar. Pemain mini turut tidak akan mengganggu aktiviti pada aplikasi lain dan ia memberi pengguna kawalan penuh dengan lebih efisien.

Ciri ini dilihat terhad untuk pengguna Spotify Premium sahaja. Untuk menggunakannya, pastikan langganan anda aktif, buka aplikasi Spotify pada Windows atau macOS dan tekan ikon kotak kecil atas kotak besar di sebelah kawalan laras suara.
[sumber] Spotify [/sumber]