Carian
Google Photos Kini Terbina Pada Aplikasi Galeri Oppo, OnePlus,Realme Dan Xiaomi
March 27, 2024 Fahim Zahar

Sudah bertahun lamanya saya menggunakan Google Photos. Ia adalah jalan penyelesaian terbaik untuk menyandarkan gambar di awanan dan boleh diakses secara rentas platform pada mana-mana peranti. Dua tahun lepas, Xiaomi mula mengintegrasikan Google Photos ke aplikasi album mereka kerana Xiaomi Cloud tidak mesra untuk pengguna global.

Terbaru, Android Police melaporkan yang aplikasi galeri pada peranti di bawah BBK Electronics iaitu Oppo, OnePlus dan realme turut mula mengintegrasikan Google Photos. Menariknya selepas pengguna membenarkan Google Photos mengakses aplikasi galeri peranti, semua gambar dan video yang pernah disandarkan akan dipaparkan. Jika pengguna memuat turun mana-mana fail, ia akan disimpan dalam folder Restored.

Google turut membenarkan pengguna mematikan ciri ini melalui tetapan Google Photos, App & Devices, kemudian Google Photos access. Ini kerana ciri ini tidak boleh mengesan gambar yang disunting pada Google Photos dan Google Photos pula tidak boleh mengesan gambar dan video yang ada duplikasi. Tetapi jika anda sekadar ingin menyimpan gambar sebagai kenangan, percayalah ia amat berguna.

Komen