Penggunaan 5G di Malaysia akhirnya sudah semakin berleluasa. Tetapi negara kita sebenarnya agak lambat mendapatkan rangkaian yang lebih laju ini kerana negara luar sudah ada yang memulakan ujian 6G. Terbaru di China, rangkaian 5.5G telah diperkenalkan oleh China Mobile dan peranti Oppo adalah antara yang pertama menyokongnya.

Apa pula 5.5G? 5.5G adalah seakan 5G+ atau 4G LTE. Nama sebenarnya adalah 5G Advance dan peranti akan memaparkan ikon 5GA. Rangkaian baharu ini dikatakan terhad kepada siri Oppo Find X7 sahaja seperti yang diumumkan oleh Oppo di Weibo. Pete Lau menunjukkan demo pada Find X7 Ultra yang telah menyokong rangkaian ini.

5GA dikatakan menyokong kelajuan muat turun 10Gbps dan kelajuan muat naik 1Gbps. Teknologi yang digunakan adalah berasaskan 5G biasa cuma telah dipertingkatkan untuk menerima sambungan lebih stabil, lebih pantas dan tiada sela masa. Sokongan 5GA ini akan dikembangkan di 300 bandar China. Disebabkan ia adalah teknologi di bawah China Mobile tidak pasti jika syarikat telekomunikasi negara lain akan memperkenalkan sokongan rangkaian ini.