Kita masih baru sahaja menikmati rangkaian 5G di Malaysia tetapi di Korea Selatan usaha melancarkan rangkaian 6G telah dimulakan sejak tahun lalu. Terkini LG mengumumkan kejayaan menghantar data 6G pada frekuensi THz sehingga jarak 500 meter. Ini memintas rekod 320 meter yang mereka catatkan tahun lalu di Fraunhofer Heinrich-Hertz Institute Berlin.
Kejayaan kali ini penting kerana dilakukan di LG ScienceparkĀ Seoul yang terletak di kawasan bandar. Ia membuktikan teknologi 6G THz boleh digunakan di dunia sebenar kerana jarak pemancar yang optimum di dalam kawasan bantar ialah 500 meter antara satu sama lain.
Dengan teknologi 6G THz, bukan sahaja data yang lebih pantas boleh dinikmati tetapi mengurangkan lagi lengah masa yang membolehkan sistem AI serta swapandu yang lebih terperinci di masa depan.
Penstandardan rangkaian 6G dijangka akan dilakukan pada 2025 dengan pengkomersialan akan dilakukan bermula 2029. Korea Selatan sebelum ini bertekad akan memperkenalkan prototaip 6G pada tahun 2026 dan menggunakannya seawal 2028.