Google Melakukan Pusingan-U, Pixel 8 Kini Sokong Gemini Nano
Fahim Zahar
Amat aneh apabila beberapa minggu lalu Google mengumumkan yang Pixel 8 tidak menyokong Gemini Nano untuk AI diproses dari dalam peranti. Alasan Google adalah spesifikasi peranti mengehadkan model bahasa raya yang terbina pada aplikasi AICore dijalankan pada peranti ini. Selepas berminggu pengguna mengecam dan mengejek Google, baru-baru ini Pixel 8 telah disahkan akan menyokong Gemini Nano.
Ia tidak masuk akal untuk Pixel 8 tidak disokong kerana peranti lain seperti Samsung Galaxy S24 yang turut mempunyai 8GB RAM dan bukan model berkuasa seperti S24+ atau S24 Ultra menyokong Gemini Nano. Gemini Nano membenarkan ciri Gboard Smart Reply atau transkrip audio ke teks dari aplikasi Recorder diproses dari dalam peranti berbanding menggunakan Internet.

Gemini Nano akan tiba ke Pixel 8 melalui aplikasi AICore dalam kemas kini Pixel Feature Drop yang seterusnya. Pixel 8 masih tidak dijual di Malaysia, tetapi jika anda mahukan peranti kelas mercu dengan ciri AI pada harga mampu milik – Samsung Galaxy S23 baru sahaja menerima kemas kini One UI 6.1 dengan Galaxy AI.
[sumber] The Verge [/sumber]