Semakin banyak lagi terus lesap dari TikTok kerana kemelut dengan Universal Music Group (UMG). TikTok dilaporkan tidak ingin membayar lesen pada harga yang adil dan membuang muzik artis baharu. Terkini, UMG mengumumkan yang mereka memperluaskan kerjasama dengan Spotify untuk artis dan penulis lirik untuk mereka melakukan promosi dan berinteraksi dengan peminat.
Pertama artis-artis UMG kelak boleh mengacah pra-pelancaran muzik baharu mereka dan peminat boleh melakukan pra-simpan sementara menantikan tarikh pelancaran sebenar. UMG turut akan terus bekerjasama dengan Spotify untuk alatan sosial lain yang akan memudahkan peminat menerokai muzik baharu dari artis kegemaran.

Dengan Spotify mula menyokong video muzik, Universal turut akan memberi lesen kepada Spotify mengedarkan video muzik artis mereka di Amerika Syarikat. UMG adalah pemegang label bagi artis seperti Siti Nurhaliza, Joe Flizzow, P Ramlee, Ella, Dewa 19, Taylor Swift, The Weeknd, SZA, Drake, Billie Eilish, Ariana Grande, Justin Bieber, Adele, dan Coldplay. Buat masa ini masih tidak pasti adakah UMG akan mengembangkan ciri baharu kepada pengguna Spotify luar Amerika.