Carian
Rabbit Bekerjasama Dengan ElevenLabs Untuk Suara Pembantu Maya Yang Lebih Mirip Manusia
March 29, 2024 Fahim Zahar

Rabbit R1 adalah satu lagi peranti fizikal AI generatif yang menarik perhatian ramai. R1 adalah pembantu kepada pengguna untuk memudahkan lagi penggunaan telefon pintar dengan fokus kepada kawalan suara. Terbaru Rabbit dilaporkan akan bekerjasama dengan ElevenLabs untuk suara pembantu maya yang lebih mirip manusia.

ElevenLabs adalah perkhidmatan AI yang boleh mengalih suara dari satu bahasa ke bahasa lain. Ia turut menyokong mencipta semula suara dengan melatih suara sendiri atau suara orang lain. Bukan itu sahaja, suara dari ElevenLabs turut menjanjikan akan tiada sela masa dalam setiap perbualan. Untuk chatbot yang terbina, Rabbit R1 menggunakan model bahasa raya Perplexity AI untuk menjawab soalan pengguna.

Rabbit R1 adalah peranti AI yang berharga $199 iaitu sekitar RM937. Ia akan mula tiba ke tangan pengguna 31 Mac nanti. Peranti ini adalah peranti yang tiada aplikasi kerana bergantung kepada API sedia ada serta pengguna perlu melatih sendiri R1 untuk ia boleh menjadi pembantu kepada pengguna.

Komen