Carian
Anda Kini Boleh Akses Gemini Di iPhone Melalui Aplikasi Google
April 1, 2024 Fahim Zahar

Google Gemini adalah chatbot AI generatif Google yang menggunakan model bahasa raya tersendiri. Gemini Nano terbina pada peranti Samsung dan Pixel, Gemini Pro untuk semua pengguna dan Gemini Ultra untuk pengguna berbayar. Semasa pelancaran Gemini, aplikasi hanya terhad untuk peranti Android dan pengguna iPhone terhad kepada versi web sehinggalah baru-baru ini.

Saya sedari pada hari Ahad, 31 Mac 2024 aplikasi Google pada iPhone mula memaparkan suis antara Google dan Gemini. tekan Google ia menjadi aplikasi Google seperti biasa dan apabila Gemini ditekan ia mirip antaramuka Gemini di Android. Semua ciri Gemini dilihat boleh digunakan termasuk kawalan suara tetapi seperti Google Assistant pada iPhone, Gemini turut tidak boleh diseru. Ia juga terhad kepada bahasa Inggeris sahaja.

Gemini pada iPhone adalah percuma digunakan kecuali akses Gemini Advanced yang memerlukan langganan Google One AI Premium. Penyertaan Gemini pada iPhone ini juga adalah langkah awal kerjasama Apple dan Google untuk iOS 18 akan datang yang dijangka akan mempunyai integrasi AI.

Komen