Sudah berminggu lamanya saya menguji Samsung Galaxy A55. Peranti ini adalah telefon pintar dalam kelas pertengahan premium yang menarik tetapi tidak sempurna. Samsung cuba menawarkan banyak ciri mercu seperti kamera yang baik, cip yang lebih berkuasa dan rekaan lebih seksi. Persoalannya adakah Galaxy A55 boleh menjadi alternatif kepada Galaxy S24 seperti Galaxy A54 menjadi alternatif baik kepada Galaxy S23? atau Galaxy A35 sudah memadai?

SPESIFIKASI DAN REKAAN
Samsung Galaxy A55 | |
---|---|
Skrin | 6.6″ Super AMOLED, 1080 x 2350 FHD+, 120Hz, HDR10+, Gorilla Glass Victus+ |
Pemproses | Exynos 1480 (4nm) 4x 2.75 GHz Cortex-A78 4x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Xclipse 530 (AMD RDNA2) |
RAM | 12GB LPDDR5 |
Storan | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50MP, f/1.8, OIS Sudut Lebar 12MP, f/2.2 Sudut Ultra Lebar 5MP, f/2.4 Makro |
Kamera Depan | 32MP, f/2.2 |
Bateri | 5000mAh Pengecasan Berayar 25W |
Sim/Telefoni | Dwi-SIM 5G |
Audio | Speaker Stereo |
WiFi. NFC, Bluetooth | WiFi 6, Ya, Bluetooh 5.3 |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP67 |
Sistem Imbasan | Cap Jari Bawah Skrin |
Harga Jualan | Berharga RM1,999 |


Anda sudah lihat jadual di atas? Jelas yang spesifikasi di atas kertas Galaxy A55 adalah sebuah peranti kelas pertengahan yang premium dan hebat. Tetapi apa yang penting adalah pengalaman penggunaan di dunia sebenar. Misalnya, rekaan Galaxy A55 pada saya adalah lebih seksi kerana ada lekuk di sisi yang tiada pada Galaxy A54.

Peranti juga kelihatan seakan sebuah Galaxy S24 kerana peranti ini tidak rasa seperti peranti murahan. Butang di sisi semuanya sedap ditekan, panel belakang rasa kuat, peranti tiada kesan lompong, dan semuanya diberi penuh perhatian. Apa yang mengecewakan adalah rekaan skrin dengan bezel tebal dan tidak sekata.

SKRIN
Bercakap mengenai skrin tadi, untuk sebuah peranti kelas pertengahan premium Galaxy A55 menggunakan antara skrin yang terbaik di pasaran. Terbaik yang saya maksudkan di sini adalah kualiti warna yang menarik, warna hitam yang gelap gelita, kecerahan yang baik sahaja dan paling penting One UI 6.1 amat bijak dalam mengendalikan kadar segar semula adaptif dari yang paling rendah sehingga 120Hz. Menonton video di Netflix atau Disney+ turut memberikan pengalaman yang memuaskan.

BIOMETRI
Samsung Galaxy A55 menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin yang mana ia agak perlahan dan memerlukan penuh kesabaran. Nasib baik sekarang berada di bulan Ramadan jadi saya masih boleh menggunakan peranti ini dengan tenang. Lagipun ini adalah perkara biasa untuk peranti kelas pertengahan Samsung.
PENGGUNAAN – ONE UI 6.1 + KNOX VAULT
Saya amat kecewa apabila mendapati, Galaxy A55 menggunakan One UI 6.1 berasaskan Android 14 yang sama dengan siri Galaxy S24 tetapi tiada langsung ciri Galaxy AI. Malah yang ringkas seperti penterjemahan pun terhad kepada Google Translate yang terbina pada papan kekunci sahaja. Untuk siri Galaxy A baharu ini, Samsung hanya memberikan fokus kepada sekuriti iaitu Knox Vault.

Ciri dan fungsi lain One UI 6.1 pada peranti ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan One UI 6.1 pada peranti Samsung lain. Malah Knox Vault pun adalah ciri sekuriti yang sudah lama ada cuma diberi nama pemasaran baharu. Dalam penggunaan saya Galaxy A55 adalah cukup pantas, lancar dan langsung tiada masalah lengah masa yang serius setakat beberapa minggu penggunaan. Exynos 1480 benar-benar mencabar cip pemprosesan peranti kelas pertengahan lain dan MediaTek harus berhati-hati dengan kebangkitan Exynos.
Kekuatan Samsung masih lagi terletak pada kemas kini yang diberikan iaitu empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti. Tidak banyak pengeluar lain berani memberikan sokongan jangka panjang seperti Samsung setakat ini untuk peranti kelas pertengahan.

Berikut adalah ciri Knox Vault yang Samsung ingin tekankan pada Samsung Galaxy A55;
- Perlindungan berasaskan TEE, TrustZone.
- Kata laluan, biometri dan kunci kriptografi dalam peranti diuruskan oleh sistem operasi tersendiri bukan Android.
- Perlindungan pengguna dari cip pemproses ke dalam peranti sehinggalah ke awanan.
- Satu-satunya barisan peranti kelas pertengahan dengan sistem sekuriti paling ketat.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS
Untuk ujian penanda aras saya membandingkan Galaxy A55 dengan Nothing Phone (2a) (Dimensity 7200 Pro) dan Oppo Reno11 F (Dimensity 7050) kerana kategori peranti yang lebih kurang sama. Skor Galaxy A55 membuatkan saya terkejut kerana ia benar-benar berkuasa dan bersaing sengit dengan cip Dimensity 7xxx. Samsung benar-benar berjaya mengoptimasikan peranti ini agar ia kekal lancar dan mempunyai prestasi konsisten sepanjang tempoh penggunaan.

Antutu 3D
- Samsung Galaxy A55 – 686,987
- Nothing Phone (2a) – 685,115
- Oppo Reno11 F 5G – 606353
Geekbench 6
- Samsung Galaxy A55 – 1120/3338
- Nothing Phone (2a) – 1110/2589
- Oppo Reno11 F 5G – 884/2164
3D Mark Wildlife Extreme
- Samsung Galaxy A55 – 1049 / 6.28
- Nothing Phone (2a) – 1157 / 6.93 FPS
- Oppo Reno11 F 5G – Tiada
Cip Exynos 1480 adalah sedikit lebih berkuasa berbanding Dimensity 7200 Pro yang digunakan pada Redmi Note 13 Pro+ dan Nothing Phone (2a). Permua seperti Marvel Snap sangat lancar, pantas dan tiada masalah tertutup dengan sendiri. Tetapi permua grafik tinggi seperti Honkai Star Rail tidak boleh dijalankan kerana selepas 10 saat ia akan tertutup dengan sendiri.
KAMERA YANG OK!
Samsung Galaxy A55 menggunakan konfigurasi kamera 50+12+5 Megapixel dengan kamera swafoto 32 Megapixel. Kemampuan kamera pada peranti ini adalah sederhana sahaja tetapi pasca-proses setiap gambar adalah lebih pantas berbanding Nothing Phone (2a). Warna pada saya baik, cuma ia tidak ia tidak cukup menyerlah dan fokus yang lambat sedikit.








Rakaman video pada peranti ini agak lemah. Hasil warna yang nampak baik tetapi ada masalah fokus dan audio yang dirakam pecah-pecah seakan ada gangguan statik. Satu perkara bonus yang saya suka adalah penuras Snapchat sedia terbina terus dalam aplikasi kamera.
AUDIO
Speaker pada peranti ini adalah sederhana. Ia seimbang, mempunyai bass yang baik dan pengalaman penggunaan yang boleh diterima. Satu keluhan saya hanyalah, speaker Galaxy A55 tidak cukup kuat membuatkan saya kerap menggunakan tahap 75% berbanding peranti lain dalam kelas sama sekitar 45% sudah memadai.
BATERI DAN PENGECASAN
Ini adalah perkara yang saya tidak sangka berlaku pada peranti yang menggunakan cip Exynos. Bateri peranti boleh bertahan pada jangka masa yang cukup panjang. Penggunaan ringan pada Galaxy A55 membawa kepada 6-7 jam SOT, sementara penggunaan berat tiada masalah bertahan sehingga 8 jam SOT.

Apa yang saya kurang gemar dengan peranti ini adalah pengecasan terhad kepada 25W, sedangkan peranti pesaing dalam kelas sama boleh menawarkan kadar pengecasan lebih pantas pada harga lebih murah. Tempoh mengecas semula mengambil masa sekitar 105 minit yang perlahan untuk peranti moden.
PERBANDINGAN DENGAN PESAING
Samsung Galaxy A55 | Nothing Phone (2a) | Oppo Reno11 F 5G |
6.6″ Super AMOLED, 1080 x 2350 FHD+, 120Hz, HDR10+, Gorilla Glass Victus+ | 6.7″ AMOLED, 1084 x 2412 (394 PPI) Gorilla Glass 5, 30Hz-120Hz, 1300 nits | 6.7″ AMOLED, 1080 x 2412 FHD+, 120Hz, HDR10+, Panda Glass |
Exynos 1480 (4nm) 4x 2.75 GHz Cortex-A78 4x 2.0 GHz Cortex-A55 | MediaTek Dimensity 7200 Pro (4nm) 2x 2.8 GHz Cortex-A715 6x 2.0 Cortex-A510 | Dimensity 7050 (6nm) 2x 2.6 GHz Cortex-A78 6x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Xclipse 530 (AMD RDNA2) | Mali-G610 MC4 | Mali-G68 MC4 |
12GB LPDDR5 | 12GB + 8GB Maya | 8GB |
256GB UFS 3.1 | 256GB | 256GB |
Kamera Utama 50MP, f/1.8, OIS Sudut Lebar 12MP, f/2.2 Sudut Ultra Lebar 5MP, f/2.4 Makro | Kamera Utama 50 MP, f/1.88, OIS & EIS (Sudut Lebar) 50 MP, f/2.2 (Sudut Ultra Lebar) | Kamera Utama 64MP, f/1.7, OIS Sudut Lebar 8MP, f/2.2 Sudut Ultra Lebar 2MP, Makro |
Kamera Hadapan 32 MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 32 MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 32 MP, f/2.4 |
IP67 | IP54 | IP65 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 25W) | 5000 mAh (Berwayar 45W) | 5000 mAh (Berwayar 67W) |
RM1999 (12/256 GB) | RM1699 (12/256 GB) | RM1399 (8/256 GB) |
APA ADA DALAM KOTAK?
Tidak kira yang lebih mahal atau murah, setiap pembelian peranti ini anda akan menerima;
- 1x Samsung Galaxy A55
- 1x Pin SIM
- 1x Kabel USB-C ke USB-C
- 1x Buku panduan dan keselamatan

KESIMPULAN
Percaya atau tidak tidak kira betapa teruknya sesuatu produk itu, jika seseorang itu telah setia dia tetap akan membelinya. Tetapi dengan Hari Raya yang sudah semakin tiba, saya tidak ingin anda membazir duit membeli gajet yang tidak berbaloi. Pada hemat saya jika sebuah peranti kelas pertengahan harganya sudah menghampiri RM2000 ia perlu mempunyai perkara yang menjadikannya sebagai peranti nilai terbaik.

Sayang sekali ini tiada pada Samsung Galaxy A55 kerana peranti yang bagus ini seakan tersangkut di tengah jalan yang belum sampai ke Galaksi idaman Harga jualan RM1,999 adalah agak mahal kerana anda boleh membeli Redmi Note 13 Pro+ yang lebih berkuasa pada harga RM1599 atau Nothing Phone (2a) dengan rekaan unik pada harga RM1699. Walaubagaimanapun, kelebihan Samsung Galaxy A55 adalah daripada segi penawaran perisian, kemaskini dan sekuriti – yang masih sukar dicapai oleh pelbagai pengeluar peranti lain di pasaran. Khidmat selepas jualan Samsung juga jauh lebih baik berbanding yang lain di pasaran.
PRO
- Rekaan yang cantik, premium dan seksi.
- One UI 6.1 yang sama dengan peranti mercu Samsung.
- Skrin yang cantik dan pantas.
- Sistem sekuriti Knox Vault yang ketat dan selamat.
- Bateri yang sangat tahan lama.
- Kemas kini empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti.
KONTRA
- Tiada ciri AI generatif.
- Rekaan skrin dengan bezel tebal dan tidak sekata.
- Kemampuan kamera kurang memuaskan. Mungkin boleh diperbaiki melalui kemaskini perisian seperti sebelum-sebelum ini.
- Tidak boleh menjalankan permua grafik tinggi.
- Pengecasan 25W yang perlahan.
