Cari @ Amanz

Tahukah anda pada ketika ini Jepun mempunyai lebih 30 juta penduduk berusia lebih 65 tahun? Ini adalah hampir sama dengan jumlah penduduk Malaysia tahun lalu. Jumlah kelahiran bayi di Jepun kini di tahap paling rendah dan tahun lalu mengalami penyusutan 0.53%. Semalam Profesor Hiroshi Yoshida dari Tohoku University mengeluarkan kajian mengatakan pada kadar ini kesemua penduduk Jepun akan menggunakan nama keluarga Sato menjelang tahun 2531.

Sato ialah nama keluarga paling popular di Jepun dengan ia digunakan 1.5% penduduk. Tahun lalu ia mencatatkan peningkatan 0.83% berbanding 2022. Menggunakan ekstrapolasi data, Profesor Hiroshi Yoshida percaya kesemua rakyat Jepun akan menggunakan nama Sato sekitar 500 tahun sahaja lagi.

Kekurangan golongan muda di Jepun sudahpun mewujudkan pelbagai masalah seperti kawasan luar bandar yang ditinggalkan, kos menjaga warga tua yang membebankan kerajaan dan tiadanya golongan pelapis. Jepun cuba menyelesaikan isu ini dengan memperkenalkan penggunaan robot secara lebih meluas.

Beberapa tahun lalu kami laporkan robot digunakan sebagai ganti sami untuk acara pengebumian kerana kekurangan sami manusia dan juga kedai serbaneka Lawson menggunakan robot untuk mengisi stok di kedai.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd