Kerajaan sedia mengumumkan perancangan memperkenalkan identiti digital atau dinamakan MyDigital ID tidak lama lagi – sekaligus memudahkan lagi transaksi dan pengesahan secara atas-talian untuk pelbagai tujuan. Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa pihak kerajaan akan memperkenalkan pendaftaran untuk MyDigital ID ini pada bulan Mac 2024, tetapi terkini, di sebuah acara media, tarikh tersebut ditunda sedikit ke Mei 2024.
MyDigital ID adalah langkah dalam memudahkan pendaftaran dan penggunaan identiti di pelbagai platform digital kerajaan – dan dijangka turut diperluaskan pada aplikasi swasta yang lain. Mohd Mirza Mohd Noor, pemangku CEO MyDigital ID berkata bahawa ini juga dijangka akan memudahkan lagi proses pengesahan identiti yang kini bergantung kepada penyedia pihak ketiga luar negara oleh pelbagai aplikasi, termasuk aplikasi perbankan dan dompet digital.

Diantara kelebihan penggunaan MyDigital ID ini dapat dilihat dari segi pendaftaran akaun baru untuk mana-mana institusi kewangan ataupun pengesahan pengguna untuk perkhidmatan atas talian berkaitan sektor kerajaan dan sebagainya di masa akan datang.
Setakat ini, MyDigital ID sudahpun dilihat bekerjasama dengan aplikasi MySejahtera, dan di masa akan datang, bersama-sama dengan institusi kewangan tempatan dan juga agensi-agensi kerajaan untuk mengintegrasi ciri seperti eKYC dan pengesahan log masuk untuk memastikan pengesahan pengguna adalah lebih cepat dan juga selamat.

Bersama-sama dengan pendaftaran terbuka MyDigital ID ini ialah pengenalan “sandbox” untuk memberikan institusi-institusi ini sebuah persekitaran yang selamat untuk membangunkan teknologi menggunakan MyDigital ID. Ia dilihat juga bahawa terdapat beberapa bank yang mahu membangunkan teknologi ini dalam masa yang terdekat ini.
Pendaftaran MyDigital ID ini boleh dilakukan dengan dua cara kelak. Pertama ialah secara atas talian, melalui sebuah laman web yang akan diumumkan kelak, dan kedua ialah melalui kiosk fizikal yang akan diperkenalkan di lokasi-lokasi tertentu.

Mohd Mirza juga mengatakan bahawa setakat ini, pendaftaran sudahpun bermula untuk individu-individu di badan-badan kerajaan termasuklah kementerian-kementerian secara meluas. Pendaftaran fizikal telah bermula sejak Disember 2023, manakala pendaftaran atas talian sudahpun dimulakan pada bulan Mac 2024.
Pihak MyDigital ID juga mengesahkan sekali lagi bahawa sistem tersebut tidak akan menyimpan data biometrik, mengumpul dan mendedahkan data peribadi dan tidak akan menggantikan MyKad sebagai bukti pengenalan.