NASA Memilih Tiga Syarikat Untuk Membangunkan Kereta Permukaan Bulan
Effi Saharudin
Misi Artemis akan dilancarkan dalam masa dua tahun sahaja lagi sekiranya tiada aral melintang. Manusia akan kembali semula ke permukaan bulan dan kali ini kita akan cuba menghasilkan penempatan kekal bagi membolehkan planet lain pula diterokai. Untuk memudahkan proses pembinaan dan penerokaan, kenderaan khas untuk bulan perlu dibangunkan.
Hari ini NASA mengumumkan Intuitive Machines, Lunar Outpost, dan Venturi Astrolab dipilih untuk membangunkan Kenderaan Permukaan Bulan (LTV) generasi baharu. NASA memerlukan LTV yang boleh membawa dua angkasawan dengan sut angkasa lengkap serta boleh dikawal dari jarak jauh tanpa pemandu apabila diperlukan.
Ketiga-tiga rekaan LTV kemudiannya akan dinilaikan sebelum pemenang akan diumumkan dan ia digunakan untuk Misi Artemis V yang membawa angkasawan ke permukaan bulan. Program Artemis masih mempunyai beberapa halangan yang perlu dilepasi. Starship yang sepatutnya membawa angkasawan masih belum berjaya walaupun selepas menjalani tiga ujian oleh SpaceX.
Kelewatan Misi Artemis adalah dijangka oleh NASA akan berlaku. Tetapi mereka mungkin tidak perlu terlalu risau kerana pesaing mereka Rusia, China dan India adalah tiga negara yang belum pernah menghantar manusia ke bulan dengan misi paling awal pula akan dilancarkan pada tahun 2030.

Jepun telahpun memilih Toyota untuk membangunkan kenderaan kereta permukaan bulan pada tahun 2019. Keperluan JAXA adalah berbeza kerana kenderaan mereka mempunyai kabin untuk angkasawan berehat, mampu beroperasi dengan jarak maksimum 10,000 km dan dilengkapi panel solar untuk mengecas semula bateri.