Chatbot Leo Kini Tiba Di Brave Untuk iOS, RM69.90 Sebulan Untuk Versi Premium
Fahim Zahar
Sebelum Opera, Brave telah menjadi yang terawal mengintegrasikan banyak ciri AI pada pelayar web mereka. Antara yang popular adalah Leo Assistant iaitu chatbot AI yang menggunakan model bahasa raya Meta, LLama. Jika sebelum ini ia terhad pada desktop, Februari lepas Leo tiba ke peranti Android dan terkini Leo boleh digunakan pada peranti iOS dan iPadOS pula.

Leo adalah chatbot AI yang percuma. Ia memberi akses kepada LLM Mixtral 8x7B, Claude Instant dan Llama 2 13B dengan penggunaan yang terhad. Sementara dengan Leo Premium ia memberi akses kepada ketiga-tiga LLM dengan kadar penggunaan yang lebih tinggi. Brave Android berharga RM75.99 sebulan, sementara RM69.90 sebulan untuk iOS. Dengan Brave, Leo boleh merumuskan sesebuah laman web dengan pantas, menjawab apa-apa soalan pengguna, menjana laporan atau artikel panjang, menterjemah dan banyak lagi perkara lain yang kebanyakan chatbot AI boleh lakukan.

Leo turut boleh membaca dokumen untuk mendapatkan data dan melakukan analisa, selain turut mempunyai sokongan integrasi dengan Google Docs serta menyokong ciri suara ke teks. Kemudian demi keselamatan pengguna, Leo menggunakan proksi songsang agar alamat IP pengguna tidak boleh dijejak. Kemudian setiap perbualan dengan Leo akan dipadam, tiada log masuk diperlukan untuk akaun percuma dan butiran pembayaran langganan Leo Premium tidak dihubungkan dengan mana-mana akaun.
Untuk menggunakan Leo, anda hanya perlu muat turun Brave di Google Play Store, Apple App Store atau laman web rasmi untuk versi desktop.
[sumber] Brave [/sumber]