Carian
Qualcomm Sedang Menguji Cip Snapdragon X Plus
April 6, 2024 Effi Saharudin

Cip Qualcomm Snapdragon X Elite akan mula muncul pada PC Windows on Arm bermula H2 2024. Ia amat dinantikan kerana dilihat sebagai pesaing kepada siri cip Apple M yang menawarkan prestasi yang tinggi tetapi dengan penjimatan kuasa yang lebih baik berbanding cip X86. Sedang kita menanti pelancaran peranti dengan X Elite, Qualcomm juga sedang mengulas dua cip baharu yang belum diumumkan.

Komputer riba prototaip dengan Snapdragon X Elite

Cip X1P44100 dan X1P46100 telah diuji sejak beberapa Februari. Berdasarkan nama X1P, ia besar kemungkinan adalah cip Snapdragon X Plus. Cip Snapdragon X Elite menggunakan kod nama X1E. Terdapat spekulasi X Plus ialah model yang lebih mampu milik dengan jumlah teras CPU yang lebih rendah. Maklumat lain mengenai X Plus masih lagi belum diketahui. Yang pasti ia mungkin dilancarkan serentak dengan PC yang dilengkapi X Elite kelak.

Setakat ini Lenovo, Acer, ASUS, Dell, HP, Microsoft, Samsung, Xiaomi dan Honor sudah mengesahkan mereka akan melancarkan PC dengan X Elite. Kami sekadar dapat menguji produk prototaip 23W tanpa kipas penyejuk dan 80W dengan penyejukan aktif ketika X Elite dilancarkan Oktober tahun lalu. Berdasarkan markah penanda aras, ia mempunyai potensi memberikan saingan kepada Apple Silicon.

Komen